SHAH ALAM - "Saya keberatan bertanding Parlimen Bukit Gantang kerana kerusi itu risiko tinggi untuk saya. Saya bukan mahu jadi MB (Menteri Besar) Perak semula." Demikian penjelasan tegas Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Saya keberatan bertanding Parlimen Bukit Gantang kerana kerusi itu risiko tinggi untuk saya. Saya bukan mahu jadi MB (Menteri Besar) Perak semula."

Demikian penjelasan tegas Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin kepada Sinar Premium apabila diminta pengesahan sama ada beliau bakal berpindah kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat ke Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Merupakan bekas penyandang kerusi Parlimen itu pada tahun 2009 hingga tahun 2013, bekas Menteri Besar Perak itu bagaimanapun menggesa parti mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

Hal ini kerana beliau melihat keperluan mempertahankan kerusi DUN Sungai Rapat adalah lebih mendesak memandangkan misi utama Pakatan Harapan (PH) pada PRU kali ini adalah untuk merampas negeri Perak selain sasaran utama menawan kembali Putrajaya.

Tambahan pula, Ir Mohammad Nizar mendedahkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan proses persempadan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2018 menyebabkan sejumlah 10,000 pengundi bukan Melayu di DUN Kuala Sepetang, Bukit Gantang telah berpindah ke DUN Aulong di Parlimen Taiping.

Berikutan itu, bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu berpendapat peluang beliau untuk membantu Amanah dan PH merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang adalah sangat tipis.

"Banyak kerusi agihan PH yang dipersetujui diberikan kepada Amanah adalah merupakan kerusi DUN atau Parlimen berisiko.

"Dahulu saya menang kerusi Parlimen Bukit Gantang melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2009 kerana kerajaan negeri Perak dipimpin Pakatan Rakyat (PR) ketika itu baru dirampas BN dan mood rakyat tengah marah.

"Sekarang pula, lebih 10,000 undi kaum bukan Melayu di kawasan Simpang (DUN Kuala Sepetang), Bukit Gantang telah berpindah ke DUN Aulong Taiping pada tahun 2018. Lebih baik kekalkan saya untuk pertahan DUN Sungai Rapat.

"Peluang Amanah untuk menang lebih banyak kerusi DUN juga akan lebih cerah dan PH Perak akan lebih berpotensi merampas Perak kelak," ujar beliau.

PH mempunyai misi menawan semula Perak yang sejak beberapa tahun lalu menjadi rebutan sengit blok BN dan PH.

Pada PRU14, Mohammad Nizar telah berjaya merampas kerusi DUN Sungai Rapat setelah menewaskan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kasim dan bekas penyandang kerusi berkenaan dari Pas, Radzi Zainon dengan majoriti 3,614 undi.

Pada tahun 2009, Mohammad Nizar yang ketika itu bersama Pas, telah memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang setelah beliau menewaskan calon BN, Datuk Ismail Saffian dan calon bebas, Kamarul Ramizu Idris dengan majoriti undi 2,789.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang ketika ini disandang oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas memenanginya sewaktu mewakili BN pada PRU14.

Syed Abu Hussin berjaya merampas kerusi berkenaan daripada tangan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad setelah menang dengan majoriti 4,089 undi.

Bagaimanapun, kedudukan beliau dalam mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU15 masih menjadi tanda tanya setelah kerusi itu difahamkan turut diintai Pas yang merupakan rakan sekutu Bersatu dalam PN.

Ditanya sama ada beliau sudah dimaklumkan mengenai keputusan perpindahan kerusi berkenaan, Mohammad Nizar menjelaskan beliau ada mendengar perkara itu secara tidak rasmi, tetapi belum menerima pengesahan rasmi.

"Saya pun tidak tahu niat parti cuba letakkan saya di Parlimen Bukit Gantang. Saya sudah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di DUN Sungai Rapat. Saya sudah jelaskan kepada mereka yang saya mahu kekal bertanding di situ," ulasnya.

Mohammad Nizar turut menafikan dakwaan beliau mahu terus kekal bertanding di kerusi DUN Sungai Rapat kerana masih bercita-cita hendak menjadi Menteri Besar Perak buat kali kedua.

"Kalau singkap semula sejarah selepas PRU14, selepas PH diumumkan menang di Perak, saya sebenarnya sudah terima satu surat ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri kerajaan PH) yang bersetuju melantik saya sebagai Menteri Besar Perak kali kedua.

"Namun, lepas itu orang lain pula dipilih sebagai Menteri Besar dan saya tidak tahu apa perkara sebenar berlaku di sebaliknya.

"Jadi kalau hendak kata saya mahu jadi Menteri Besar lagi, tidak betullah kerana saya masih setia pada parti walaupun tidak dipilih semula sebagai Menteri Besar," kata Mohammad Nizar.

Klik di sini untuk terus membaca