SHAH ALAM - Semua kesalahan tidak boleh hanya dilonggokkan kepada UMNO terutama dalam isu melibatkan kepentingan rakyat kerana kerajaan ketika ini adalah kerajaan campuran. Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd Hafeez Che Mat berkata, contohnya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua kesalahan tidak boleh hanya dilonggokkan kepada UMNO terutama dalam isu melibatkan kepentingan rakyat kerana kerajaan ketika ini adalah kerajaan campuran.

Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd Hafeez Che Mat berkata, contohnya dalam isu ayam dan kenaikan harga barang, yang disalahkan hanya UMNO disebabkan Perdana Menteri (PM) dari parti itu.

"Memang PM dari UMNO tetapi menteri ekonomi, menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dari (parti) mana?

"Jadi bagi saya tidak elok dipukalkan segala kebobrokan itu kepada UMNO. Tidak adil untuk dipukalkan segala gelaran seperti penyamun dan perompak kepada UMNO," katanya.

Mohd Hafeez berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi 371 bertajuk Pengundi Muda Bosan Atau Teruja? yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut bergandingan dengan beliau sebagai panelis adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda dan Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir sementara Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Menurut Mohd Hafeez, disebabkan itulah beliau mengharapkan wujud kerajaan yang kuat dan stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sementara itu, beliau menafikan UMNO mahukan PRU15 diadakan segera kerana mahu menyelamatkan presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes mahkamah.

"Kita perlu tengok benda ini lebih luas daripada hanya ruang lingkup mahkamah. Ini sebenarnya yang menyebabkan pengundi muda benci dengan politik Malaysia.

"Kita perlu lihat lebih jauh ke depan iaitu pada 2023 dijangka berlaku kemelesetan ekonomi global. Itu adalah bala yang lebih besar," tambahnya.

Justeru, katanya, untuk menghadapi kemelesetan ekonomi global negara memerlukan satu kerajaan yang benar-benar stabil dan kukuh yang boleh menggubal dasar serta polisi demi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan momokan kononnya pengundian tetap dijalankan walaupun berlaku banjir.

Tegasnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa menangguhkan PRU sekiranya terjadinya bencana banjir ketika pengundian dijalankan.

"Sebab secara logiknya bagaimana mahu uruskan pengundian pada hari banjir. Tak akan mungkin pilihan raya diadakan pada hari banjir.

"Sebab itu kita gesa diadakan pada kadar segera. Tapi kalau banjir juga, ia boleh ditangguh," ujar Mohd Hafeez.

Klik di sini untuk terus membaca