SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya sebelum ini berikutan buat pertama kali pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas berkuat kuasa.
Seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun akan menjalankan tanggungjawab mereka memengundi dan daripada jumlah tersebut, seramai 1,393,549 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Seramai 4,614,429 pengundi pula berusia 21 hingga 29 tahun, manakala 4,681,348 pengundi berusia 30 hingga 39 tahun.
Melihat kepada jumlah tersebut, jelas menunjukkan peranan pengundi muda kali ini lebih besar dalam menentukan parti mana yang akan memerintah negara pada masa akan datang.
Berikutan itu, parti-parti bertanding perlu menggunakan pendekatan baharu menerusi manifesto yang akan dibentangkan nanti, tetapi apakah perkara utama yang perlu dimasukkan dalam manifesto mereka untuk menarik minat pengundi muda?
Tinjauan Sinar Harian mendapati, terdapat 10 perkara utama yang pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun mahu dimasukkan dalam manifesto parti-parti bertanding pada PRU15.
Perkara tersebut ialah peluang pekerjaan, pemberian nilai Touch ‘n Go eWallet, kaji semula cukai pendapatan, subsidi petrol dan rumah mampu milik termasuk rumah generasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Lima isu lain ialah isu pinjaman bank, bantuan untuk membeli kenderaan pertama, bantuan tunai untuk bujang dan berkeluarga, menyelesaikan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penambahan gaji minimum.
Pelajar Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya (UM), Nor Fifi Natasha Fairus, 28, berkata, peluang pekerjaan seharusnya diberikan secara sama rata dan adil, bukannya berpihak kepada golongan yang mahir bahasa Mandarin semata-mata.
Bagi pelajar di Jabatan Sejarah UM, Seow Han Lin, 23, dia berharap agar bantuan one-off sebanyak RM250 hingga RM350 dapat diberikan kepada anak muda menerusi e-wallet.
"Ini kerana golongan muda lebih gemar melakukan perbelanjaan dalam talian berbanding bayaran tunai pada masa kini,” ujarnya.
Pegawai Praktikal Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu juga percaya kebanyakan parti politik mempunyai usaha ke arah meremajakan parti dengan menampilkan calon muda untuk bertanding dalam PRU15.
Norashikin Ahmad, 30, pula menyarankan kepada kerajaan agar menilai semula kesesuaian cukai pendapatan kerana tidak semua individu mampu membayarnya walaupun bergaji besar kerana mempunyai komitmen lain.
Tambah pekerja kafe itu, dari segi subsidi petrol pula, kerajaan yang bakal mentadbir juga perlu memperketat undang-undang berkaitan pembelian petrol di bawah subsidi.
"Sudah tular beberapa kes bukan warganegara dan golongan T20 yang menggunakan keistimewaan ini,” katanya.
Perunding hartanah, Nora Azianty, 36, turut menyatakan harapan agar syarat-syarat pinjaman pemilikan rumah bagi pembelian rumah pertama dikaji semula.
"Wujudkan subsidi pinjaman dengan kadar bunga yang rendah dan tambah baik Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) sedia ada supaya lebih ramai mendapat manfaatnya.
"Isu pendidikan, pekerjaan dan pemilikan rumah adalah antara isu utama rakyat Malaysia terutamanya pengundi muda bawah 40 tahun,” katanya.
Jurugambar, Moganraj Villavan, 31, pula berkata, bantuan pembelian kereta pertama bagi anak muda amat penting terutama kepada golongan wanita yang sedang bekerja di kawasan bandar.
Selain itu, katanya, bantuan tunai sekurang-kurangnya RM2,000 juga perlu diberikan bertujuan mengurangkan beban akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi, selain membantu anak muda memulakan perniagaan sendiri.
Dalam pada itu, Ahmad Nizamuddin, 25, berharap agar kerajaan dapat meningkatkan kadar sekurang-kurangnya 30 peratus diskaun bayaran balik pinjaman untuk dana PTPTN.
Tambahnya, gaji minimum juga diharapkan dapat dinaikkan RM1,800 sehingga RM2,000 sejajar dengan kenaikan kos sara hidup pada ketika ini.
10 perkara pengundi muda mahukan;
1. Selesaikan isu PTPTN.
2. Peluang pekerjaan.
3. Rumah mampu milik termasuk rumah generasi Felda.
4. Tambah gaji minimum.
5. Tambah nilai dalam e-wallet.
6. Bantuan tunai bujang dan berkeluarga.
7. Pinjaman bank (untuk rumah, berniaga, pertanian).
8. Bantuan beli kenderaan pertama.
9. Kaji semula cukai pendapatan.10. Subsidi petrol.
Klik di sini untuk terus membaca