UMUM mengetahui, susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2019, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini bakal menyaksikan pertambahan 50 peratus daripada 14.9 juta pengundi pada PRU14 lalu.
Dalam kata lain, jumlah pengundi pada PRU15 diunjurkan mencapai 21.17 juta orang setelah diambil kira pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik.
Berdasarkan data terkini daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 9 Oktober lalu, sejumlah pertambahan seramai 6.27 juta pemilih baharu dicatatkan dengan 1.39 juta daripadanya terdiri daripada pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.
Bagi jumlah daftar pemilihan keseluruhan untuk generasi Y (umur 30 hingga 39 tahun) sempena PRU15 adalah sebanyak 4.68 juta, manakala bilangan pengundi bagi generasi Z (18-29 tahun) pula berjumlah lebih 6 juta orang.
Kesimpulannya, berdasarkan angka terkini campuran bilangan pengundi generasi Y dan Z atau lebih dikenali sebagai pengundi belia, kelompok ini sebenarnya mewakili 10.69 juta atau 50.5 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih sempena PRU15 kelak.
Berikutan itu, timbul persoalan sama ada pertambahan jumlah pengundi generasi YZ ini mampu menjadi undi penentu atau 'kingmaker' kemenangan mana-mana parti politik pada pilihan raya umum kali ini.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar sewaktu dihubungi Sinar Premium, bersetuju dengan hipotesis itu.
Hal ini kerana beliau menegaskan apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan meluluskan peruntukan Undi18 dan pengundi daftar automatik, purata pertambahan bilangan pengundi generasi Y dan Z bagi setiap kerusi Parlimen adalah sekitar enam dan lapan peratus berdasarkan data Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Tegasnya, dengan data PRU14 menunjukkan purata pengundi generasi Y dan Z bagi setiap kerusi Parlimen adalah 42 peratus, ratio terkini purata pengundi dua generasi belia berkenaan kini telah meningkat sekitar 48 hingga 50 peratus bagi setiap negeri menjelang PRU15.
"Dengan kata lain, sekiranya dua generasi belia ini iaitu YZ bersatu hati dan bertekad untuk mencongak landskap baharu politik tanah air berasaskan citarasa mereka, undi mereka sudah pasti mampu menjadi 'kingmaker' pada PRU15.
"Dengan trend pertandingan PRU15 dijangka menyaksikan pertembungan lebih dua penjuru, pengundi generasi YZ hanya memerlukan sekurang-kurangnya jumlah undi terkumpul 38 peratus daripada keseluruhan undi pilihan raya untuk mengenepikan suara golongan veteran," kata Hisommudin.
Di sebalik 'kuasa besar' yang berada di tangan pengundi generasi YZ untuk mereformasikan sistem demokrasi negara, Hisommudin masih skeptikal terhadap kesungguhan kelompok berkenaan untuk memainkan peranan penting dalam PRU15.
Ujarnya, berdasarkan rumusan data PRN Johor pada Mac lalu, Ilham Centre mengenal pasti terdapat tiga kelompok pengundi generasi Y dan Z yang mempunyai tingkah laku berbeza dalam memenuhi tanggungjawab pilihan raya.
"Kelompok pengundi YZ pertama adalah mereka yang tidak mahu keluar mengundi atau bertindak merosakkan undi sebagai tanda protes. Kelompok ini biasanya merasakan tiada kepentingan untuk mengundi atau mereka masih tidak matang dalam menentukan kepentingan nilai sesuatu undi.
"Kelompok kedua pula adalah mereka yang masih mengikut panduan ibu bapa dalam menentukan parti mana untuk diundi. Kelompok ini biasanya tiada pengetahuan politik cukup, masih tinggal bersama ibu bapa atau kawasan pedalaman.
"Kelompok ketiga pula adalah merupakan kumpulan pengundi generasi YZ yang duduk atas pagar. Kelompok ini cenderung untuk mengundi mengikut momentum kempen mana-mana parti politik yang menarik perhatian mereka," dedah Hisommudin.
Mengulas lanjut, Hisommudin mengakui kewujudan tiga kelompok pengundi terdiri dalam kalangan generasi YZ ini adalah disebabkan mereka tidak mempunyai pendirian politik dan ilmu demokrasi mencukupi, sukar mengenal pasti keperluan memilih wakil rakyat berdasarkan faktor lebih rasional dan paling penting, kelompok ini masih kurang matang dan sukar beradaptasi dengan dunia realiti.
"Langkah itu mungkin dianggap strategik oleh parti-parti politik bertanding, namun bagi anak muda ia sesuatu menjengkelkan dan mengganggu privasi dunia alam maya mereka memandangkan maklumat disampaikan menerusi iklan berkenaan tidak memenuhi kehendak mereka.
"Saya masih yakin terdapat kemungkinan besar partisipasi pengundi generasi YZ pada PRU15 masih tidak memberangsangkan. Ini kerana mereka merasakan tiada parti politik yang benar-benar bercakap mengenai isu dekat dengan kelompok itu seperti hala tuju kemampanan sektor ekonomi gig, peluang pekerjaan dan isu kadar upah pekerja lebih baik," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca