AWANG rasa teruja apabila Parti Konservatif mengumumkan Rishi Sunak bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) Dengan itu, beliau merupakan orang 'kulit berwarna' (people of colour) yang pertama jadi PM negara tersebut.
Sunak juga merupakan PM UK yang paling muda dalam sejarah. Umurnya baru 42 tahun.
Perihal seorang anak keturunan pendatang atau imigran jadi PM di negeri 'orang putih', tentulah sangat istimewa dan luar biasa.
England pernah menduduki India di mana keturunan Sunak tinggal sejak tahun 1858 hingga 1947, apabila negara itu merdeka.
Lebih penting lagi, pengumuman itu dibuat semasa mereka beragama Hindu merayakan Deepavali atau Diwali. Sunak beragama Hindu.
Sunak ialah seorang jutawan yang telah mencipta nama sebagai Menteri Kewangan UK sebelum ini.
Pada tahun 2008, Barack Obama menjadi Presiden kulit hitam pertama di Amerika Syarikat (AS).
Itu juga merupakan peristiwa luar biasa disebabkan sejarah perhambaan dan segregasi ke atas mereka yang berkulit hitam.
Lima puluh tahun sebelum itu, seorang wanita bernama Rosa Parks memulakan gerakan sivil disebabkan beliau enggan pindah dari tempat duduk yang dikhaskan untuk orang kulit putih dalam sebuah bas.
Dunia nampaknya sedang berubah. Tidak ada ruang mustahil lagi bagi kaum minoriti menduduki tangga tertinggi dalam pemerintahan.
Sama ada Sunak akan berjaya sebagai PM itu soal lain. Beliau mengambil alih daripada Liz Truss yang hanya menjadi PM selama 44 hari.
Klik di sini untuk terus membaca