SHAH ALAM - Penuntut jurusan diploma perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Nurraisah Nazurrain Nazli, 18, bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat julung kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Mengakui... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penuntut jurusan diploma perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Nurraisah Nazurrain Nazli, 18, bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat julung kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengakui agak kurang berminat mengikuti perkembangan politik semasa, Nurraisah menjelaskan beliau berdepan dilema untuk memilih calon atau parti untuk diundi di Parlimen Johor Bahru kelak.

Dengan keluarganya memberi kebebasan memilih, Nurraisah mendedahkan dirinya sudah mula mengikuti siaran-siaran kempen politik melalui platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan TikTok.

"Jujurnya saya dan rakan-rakan tidak minat nak ikuti ceramah, jadi kami lebih selesa ambil tahu pasal politik melalui platform media sosial.

"Setakat ini, saya tertarik dengan pengisian dan penyampaian kempen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui TikTok dan FB. Saya juga ikuti hantaran FB Datuk Seri Najib Tun Razak sebab huraian politiknya lengkap dan melucukan," katanya.

Hakikatnya, Nurraisah merupakan salah seorang daripada pengundi generasi Y dan Z yang akan menentukan kemenangan mana-mana parti politik pada PRU15.

Pasca 2020 pecahan demografi Malaysia menunjukkan golongan belia (YZ) sebagai kelompok majoriti dengan pecahan warga baby boomer (veteran) 13 peratus, generasi X (40 hingga 55 tahun) 18 peratus, Gen Y (26 peratus) dan Gen Z (25 peratus).

Dalam persoalan PRU15, kempen fizikal dan dalam talian sebenarnya masih memainkan peranan tersendiri dengan peranan kedua-duanya masih saling melengkapi dan tidak boleh dikesampingkan.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, berdasarkan tahap penggunaan platform media sosial, penggunaan FB di Malaysia mencecah 89 peratus, manakala kadar penggunaan TikTok sekitar 53 peratus, Twitter (49 peratus), berdasarkan penyelidikan Digital Business Lab.

Justeru, Anis Anwar menyimpulkan Facebook masih menjadi pilihan utama penggunaan masyarakat Malaysia diikuti TikTok dan Twitter.

"Aplikasi TikTok menjadi platform maklumat yang paling dirujuk oleh pengguna berusia antara 18 - 29 tahun, diikuti aplikasi Facebook dan Twitter bagi pengundi berusia 30 hingga 45 tahun.

"Bagi Gen X, mereka terdedah dengan kempen berbentuk penulisan dan ceramah durasi panjang.

"Sementara Gen Y pula, mereka cenderung dengan gaya kempen potongan klip video pendek, poster, podcast dan satira politik," ujar Anis Anwar.

Di sebalik kecenderungan pengundi generasi YZ terhadap kempen media sosial, Anis Anwar tidak menolak peranan kempen konservatif pilihan raya dalam mewujudkan mood penduduk setempat untuk mengundi.

Tegasnya, sentuhan fizikal penting khususnya dalam konteks logistik bagi menggerakkan pengundi supaya dapat keluar mengundi pada hari pengundian.

"Kerana itu, parti tradisi yang memiliki penyokong teras seperti UMNO dan Pas, berupaya membawa keluar pengundi dengan kadar peratusan tertinggi sehingga mencecah 80 peratus sebagaimana tercatat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Sebaliknya, kempen media sosial lebih bersifat kesedaran politik berbanding penglibatan pengundi untuk turun mengundi.

"Buktinya, kebergantungan strategi kempen media sosial secara berlebihan oleh PH pada PRN Melaka dan Johor akhirnya mengakibatkan kadar peratusan pengundi mereka untuk keluar mengundi rendah," dedah Anis Anwar.

Klik di sini untuk terus membaca