SHAH ALAM - Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh mengambil ringan kehendak pengundi muda.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, sekiranya parti-parti politik mahu memancing undi, kelompok pengundi muda ini perlu diberi lebih perhatian.
"Pada PRU14, masalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara yang menjadi faktor penarik kepada Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu. Mereka mengemukakan idea dan penawaran yang baik untuk kelompok muda ini.
"Tetapi, kalau masih menggunakan modal mahu beri PTPTN percuma, saya rasa itu sudah tidak kena sebab pengundi mula bijak untuk buat penawaran seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Mujibu, parti-parti politik boleh memikirkan idea dan dasar yang lebih kritikal dan praktikal untuk PRU15.
"Ini faktor terpenting dalam mana-mana parti mahu menawarkan apa jua manifesto kepada pengundi khususnya kepada pengundi muda,” ujar beliau.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, setiap parti politik perlu mengubah strategi mereka daripada budaya politik lama kepada pendekatan baharu yang boleh menarik pengaruh pengundi muda.
"Mana-mana parti politik yang tidak mampu merasai denyut nadi anak muda, mereka akan berhadapan laluan sukar. Mereka perlu ingat, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sama dengan PRU15.
"Sekiranya parti-parti politik ini gagal mengenal pasti dan mengemukakan pendekatan politik baharu, saya khuatir mereka akan tewas di tangan pengundi-pengundi muda ini,” jelasnya.
Mohammad Tawfik bagaimanapun berkata, beliau masih tidak nampak parti-parti politik yang mahu bertanding bersungguh-sungguh menarik sokongan pengundi muda.
Pengundi 18 hingga 39 tahun bijak nilai pemimpin berkaliber, berintegriti Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Kartini Aboo Talib berkata, pengundi lingkungan 18 hingga 39 tahun bijak menilai keupayaan pemimpin bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Pengundi muda akan memilih pemimpin berkaliber dan berintegriti supaya semua janji-janji dalam manifesto dapat ditunaikan selepas menang PRU15, katanya.
Justeru, beliau berpandangan, hala tuju memilih pemimpin berdasarkan keupayaan mereka dalam menjamin keperluan asas rakyat agar dapat dipenuhi, adalah baik.
"Cukai rakyat harus dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk menjaga kebajikan. Namun, semua tugasan itu adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi tanpa disuruh apabila menjadi pemimpin.
"Apa yang semua orang muda mahu ialah pemimpin yang berkaliber dan berintegriti bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ulas Kartini lagi, pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun juga mempunyai jurang usia yang besar, di mana keperluan dan kehendak mereka disifatkan tidak boleh disamaratakan.
"Bagi umur 18 tahun, kemudahan biasiswa atau pemberian komputer riba percuma adalah keperluan utama yang sesuai. Bagi lingkungan umur 26 hingga 39 tahun pula melibatkan peluang pekerjaan dan gaji minimum,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca