SHAH ALAM - Kajian pusat penyelidikan, Ilham Centre mendapati terdapat 10 kehendak rakyat terutama pengundi muda yang perlu dipertimbangkan parti-parti politik untuk dijadikan teras dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, kehendak itu merangkumi ekonomi, bantuan kerajaan dan pendidikan.
Beliau berkata, kajian berkenaan dilakukan bermula Julai hingga Oktober dengan mengambil kira faktor kerajaan yang tidak stabil dan situasi ekonomi tidak menentu.
Menurutnya, isu berkaitan ekonomi adalah yang paling tinggi menjadi kebimbangan dan keutamaan rakyat."Antara yang kerap menjadi rungutan ialah kenaikan harga barang dan gaji yang tidak naik. Ada juga pasangan yang hilang pekerjaan dan mereka terpaksa mencari pendapatan lain akibat pandemik.
"Anak-anak muda yang terlibat dengan ekonomi gig pula melihat tidak ada pihak membela nasib mereka apabila syarikat memotong komisen secara bebas dan sewenang-wenangnya.
"Walaupun mereka melakukan protes dan tunjuk perasaan, tapi pada mereka tiada parti politik yang betul-betul ikhlas memperjuangkan nasib golongan itu. Jadi, keluhan-keluhan ini perlu diperhalusi dan diberikan perhatian,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagi aspek bantuan pula, beliau berkata, kebanyakan yang terkesan dengan ekonomi khususnya pengundi Melayu dan luar bandar masih memerlukan bantuan tunai one-off atau sekali beri.
Selain itu, jelasnya, permintaan terhadap subsidi khususnya barangan makanan masih tinggi walaupun ramai yang sedar kerajaan tidak boleh bertahan dengan cara tersebut.
"Contohnya, pengumuman bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat. Itu adalah sesuatu yang baik namun bagi kelompok peniaga kecil perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mereka menghadapi kerenah birokrasi yang tinggi.
"Bukan senang untuk mendapatkan bantuan itu sehingga ada yang bertahun terpaksa menunggu. Contohnya, penjual karipap di tepi jalan mahu penyejuk sahaja, tetapi perlu ambil gambar, tunjuk daftar niaga, sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perlu jumpa ketua kampung,” katanya.
Hisomuddin bagaimanapun menjelaskan, berdasarkan responden kajian mereka, kebanyakan pengundi tidak meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin politik kerana mereka beranggapan ramai yang bersifat ‘fake’ (pura-pura).
Malah, katanya, berdasarkan kajian mendapati kurang daripada 10 peratus sahaja yang meletakkan mereka menilai tawaran manifesto.
"Walaupun peratusan itu rendah, tapi bagi mana-mana parti politik, manifesto itu adalah set tawaran yang mereka akan laksanakan. Maksudnya, dasar yang secara umumnya mereka akan laksanakan untuk mentadbir dan menguruskan negara apabila parti mereka dipilih pengundi.
"Sebaik sahaja parti politik menang, menjadi amalan pegawai kerajaan di semua peringkat termasuk kementerian untuk meneliti manifesto tersebut dan melihat bahagian mana yang melibatkan peranan mereka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca