PADA masa dahulu, jika disebut ‘nomad’, yang akan terlintas di fikiran kita tentulah orang Badwi di Tanah Arab, puak Red Indian di Amerika Utara, puak Masai di Afrika dan tidak terkecuali saudara-saudara kita dari kalangan pelbagai suku kaum Orang Asli di negara ini. Selain itu mungkin terlintas juga wajah kawan-kawan kita yang merantau di kota besar seperti Kuala Lumpur, yang menjadi ‘nomad kota’, berpindah dari satu bilik sewa ke bilik sewa yang lain.
Secara umumnya, dari perspektif kita, perkataan ‘nomad’ itu jarang membawa konotasi yang positif. Ia adalah cerminan pada kehidupan yang seolah-olah tiada kesudahan kerana sering berpindah-randah tanpa kediaman kekal dan penempatan tetap. Namun, apabila dunia semakin maju dan pembangunan kian menyeluruh, bilangan kelompok yang meneruskan tradisi hidup secara nomad semakin mengecil.
Tetapi di sebalik berkurangnya bilangan mereka itu, muncul pula kelompok nomad baharu, yang kian mendominasi dunia. Pada tahun 2021 jumlah nomad baharu ini di seluruh dunia dianggarkan sekitar 35 juta dan ia bertambah dengan pesat. Di Amerika Syarikat pada tahun 2018 jumlahnya cuma 4.8 juta, tetapi pada 2021 angka itu melonjak kepada 11 juta.
Jika nomad pada masa dahulu disinonimkan dengan kemunduran, nomad baharu ini pula adalah hasil daripada ledakan kemajuan. Mereka berkebolehan dalam dunia teknologi dan berpindah-randah bukan untuk mencari padang rumput, sebaliknya untuk menikmati kehidupan yang lebih bebas dengan pulangan lebih lumayan.
Mereka yang saya maksudkan ialah ‘nomad digital’ iaitu kumpulan orang yang boleh melakukan kerjanya di mana sahaja, pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu dan tempat.
Untuk menjadi nomad digital anda cuma perlukan dua perkara; komputer riba atau sebarang gajet mudah alih dan akses internet. Selain itu anda hanya memerlukan kebolehan dalam sesuatu bidang yang anda jadikan sumber mencari rezeki. Ada komputer riba 10 buah dengan akses internet paling laju di dunia pun tiada ertinya kalau kebolehan anda setakat ‘skodeng’ akaun Facebook kawan-kawan.
Cara hidup sebagai nomad digital bermula pada awal 1980-an. Antara pelopornya ialah Steve Roberts, seorang penulis bebas dan perunding korporat dari Columbus, Ohio, Amerika Syarikat. Dia mengubah suai basikalnya, melengkapkannya dengan komputer dan menjadikannya pejabat bergerak.
Sepuluh tahun kemudian, dengan kemunculan peranti mudah alih seperti komputer riba, tablet dan PDA (pembantu peribadi digital), cara bekerja yang dipraktikkan oleh Roberts itu mula menarik minat ramai sebelum ia menjadi kegilaan sekarang.
Di Malaysia sekarang pun jumlah nomad digital tidaklah kecil. Banyak dalam kalangan kawan-kawan saya sendiri memilih cara hidup sedemikian. Ada yang sekadar berlegar di dalam negara, tetapi tidak kurang yang telah mula melepasi sempadan antarabangsa, dari sebuah negara ke negara yang lain mengikut keperluan projek yang mereka laksanakan. Mereka bekerja dari mana-mana sahaja; kafe, dalam kenderaan, bawah pokok, kamar sewaan, terserah pada kehendak sendiri. Ada antaranya menginap di hotel atau rumah penginapan sehingga berbulan-bulan. Itu pun terserah pada kehendak dan kemampuan sendiri juga.
Melihat pada meluasnya potensi budaya kehidupan nomad moden ini, banyak negara mewujudkan skim visa khas bagi menarik kehadiran mereka. Di Hungary, misalnya, kerajaan memperkenalkan ‘Kad Putih’, satu kebenaran khas untuk nomad digital dari negara luar tinggal di negara itu selama setahun, dan disambung lagi setahun jika perlu. Sementara itu, Indonesia merancang membawa masuk 3.6 juta nomad digital melalui skim yang membolehkan para nomad tersebut tinggal di negara itu tanpa cukai selama lima tahun.
Dan kita pun apa kurangnya, pada September lalu Menteri Komunikasi dan Multi Media telah melancarkan Program DE Rantau yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan para nomad digital.
Melihat pada arus perkembangannya sekarang, jangan hairan jika suatu masa nanti dunia ini dipenuhi oleh para nomad digital. Yang kita risau cuma satu, ia juga dipenuhi oleh ‘nomad suri rumah’, yang kerjanya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain; mencari suaminya – sang nomad digital - yang tak balik-balik... #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.