SHAH ALAM - Janji penawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada pemimpin Sabah dan Sarawak oleh Pakatan Harapan (PH) bukan tawaran pilihan raya retorik kerana ia sudah menjadi aspirasi koalisi itu sejak daripada zaman Pakatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Janji penawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada pemimpin Sabah dan Sarawak oleh Pakatan Harapan (PH) bukan tawaran pilihan raya retorik kerana ia sudah menjadi aspirasi koalisi itu sejak daripada zaman Pakatan Rakyat (PR) lagi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tawaran itu juga merupakan sebahagian daripada aspirasi manifesto pilihan raya PH sewaktu PRU14 di atas semangat koalisi berkenaan untuk menghormati semangat Perjanjian Malaysia Tahun 1963 (MA63).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan janji berkenaan tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan PH membentuk kabinet di Putrajaya, disebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan berbuat demikian.

"Janji pelantikan pemimpin daripada Sabah dan Sarawak sebagai salah seorang daripada dua TPM sekiranya PH menang bukan tawaran baharu, sebaliknya kita sudah lama perjuangkannya sejak zaman PR lagi (tahun 2008 hingga 2015).

"PH komited menuntutnya sebab kita mahu kembalikan hak pengundi Sabah dan Sarawak selain menghormati semangat MA63.

"Tetapi saya tidak tahu mengapa PH tidak lantik TPM dari Borneo lepas kita menang PRU14. Itu kena tanya Tun M (Dr Mahathir) lah. Cuma saya yakin, calon Perdana Menteri baharu kita (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menunaikan janji berkenaan jika PH menang PRU15," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan jawatan TPM diisi lebih daripada seorang calon termasuk daripada Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji 'mi segera' kumpulan terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya.

Hal ini susulan BN dan PH mengumumkan parti itu berjanji akan mewujudkan jawatan TPM dengan salah satu jawatan itu dilantik dalam kalangan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung sekiranya koalisi masing-masing menang PRU15.

DR MAHATHIR

Pada PRU14, PH yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Dr Mahathir ketika itu telah meletakkan janji pelantikan pemimpin Sabah dan Sarawak sebagai salah seorang TPM dalam manifesto pilihan raya mereka.

Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadi realiti apabila kerajaan PH hanya melantik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM, mengikut amalan konvensyen kerajaan terdahulu.

Pada Mac 2020, kerajaan PH akhirnya runtuh apabila Bersatu kemudiannya keluar daripada koalisi itu dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO-BN, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut menolak dakwaan PH dan BN seolah-olah sudah 'berpakat' untuk mengadakan kerjasama politik selepas PRU15, hanya bersandarkan alasan tawaran pilihan raya hampir sama.

Jelas beliau, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku selepas PRU15 dan kemungkinan wujud persamaan PH serta BN dari segi tawaran pilihan raya hanya disebabkan kedua-dua koalisi menyedari kepentingan meraih sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Kalau hendak kait tawaran jawatan TPM lebih seorang bukti BN dan PH mungkin akan pakat lepas PRU15, saya boleh katakan tiada apa pun yang dikatakan sama.

"Apa yang akan berlaku selepas PRU15 pun, tiada siapa boleh tahu," tegas Mujahid lagi.

Mengenai perkembangan PH Perak dalam mendepani PRU15, Mujahid percaya kehadiran Anwar untuk bertanding di Parlimen Tambun pastinya memberi nilai tambah kepada PH dalam usaha merampas kembali negeri berkenaan.

ANWAR

Lebih menarik, bekas Menteri di Jabatan Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mendedahkan kerusi Parlimen yang kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu sebenarnya merupakan bekas kerusi Bersatu yang sudah diagihkan kepada Amanah.

"Kerusi Tambun itu sebenarnya sudah dipersetujui diagihkan kepada Amanah.

"Tetapi oleh kerana 'Sivaji (Datuk Seri Anwar Ibrahim)' sendiri minta untuk bertanding di situ, maka kita tiada masalah beri laluan.

"Sudah pasti kehadiran beliau akan menyemarakkan usaha PH Perak bukan sahaja merampas kembali kerusi berkenaan daripada 'pengkhianat' PH, bahkan kerajaan negeri secara lebih khusus," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca