SHAH ALAM - Kelainan calon yang dikemukakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mengetengahkan calon profesional, muda dan agamawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggambarkan bahawa parti berkenaan bersedia mengubah strategi yang digunakan untuk menarik hati pengundi.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjelaskan, muka-muka baharu yang dikemukakan untuk bertanding pada PRU15 merupakan satu strategi diguna pakai oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik sokongan terutama pengundi muda.
"Perkara ini sebenarnya menjadi contoh kepada gabungan politik lain termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk menampilkan ramai calon baharu yang berkaliber.
"Strategi diguna pakai PKR untuk menarik sokongan terutama golongan muda adalah menampilkan calon yang mempunyai latar belakang pendidikan baik dan mereka terdiri daripada golongan profesional.
"Jadi itu sebenarnya strategi politik yang diguna oleh Anwar untuk menarik perhatian golongan muda yang berusia antara 18 hingga 39 tahun yang mahukan pembaharuan baharu daripada calon-calon baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau menambah, pengundi mahukan muka-muka baharu untuk mewakili suara mereka di parlimen.
Tambah beliau, mengetengahkan golongan profesional dan bukan aktif dalam bidang politik yang akan bertanding pada PRU15 dilihat berbeza berbanding PRU14.
"Pada PRU14 lalu bukan Anwar yang 100 peratus mencadangkan atau mencaturkan senarai calon yang bertanding pada PRU.
"Untuk kali ini sudah pasti Anwar mempertimbangkan pelbagai aspek dan strategi supaya setiap sentimen pengundi itu berjaya ditawan menerusi pengaruh dan ketokohan daripada calon-calon yang terdiri daripada pelbagai bidang dan pengalaman,” jelasnya.
Pada Rabu, PKR mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.
Anwar berkata, antara calon tersebut ialah ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Zainal Azman Abu Seman.
Selain itu katanya, turut dicalonkan bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM), Dr Nur Aisyah Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop dan siswazah daripada UM, Fathin Amelina Fazlie.
Calon PRU15 PKR
1) Nik Omar Nik Abdul Aziz
- Ilmuwan agama nasional
- Anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
- Akan bertanding di Perak
2) Datuk Zainal Azman Abu Seman
- Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi)
- Akan bertanding di Perak
3) Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan
- Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
- Akan bertanding di Pahang
4) Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz
- Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi di Universiti Malaya (UM)
- Tokoh kelainan upaya yang menjadi aktivis pesakit-pesakit spina bifida
- Akan bertanding di Selangor
5) Saipolyazan Yusop
- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS)
- Akan bertanding di Selangor
6) Jufitri Joha
- Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
- Akan bertanding di Negeri Sembilan
7) Fathin Amelina Fazlie
- Calon doktor falsafah di UM, berusia 28 tahun
Akan bertanding di Perlis
Klik di sini untuk terus membaca