SHAH ALAM - Strategi DAP mempertaruhkan Ketua Angkatan Muda Pakatan Harapan (PH) Pahang, Young Syefura Othman sebagai calon mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memperlihatkan usaha parti itu meraih pengundi Melayu di kawasan berkenaan.
Pengarah Akademik Pusat Kajian Cina Malaysia (Huayan), Profesor Madya Dr Chang Yun Fah berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, sokongan daripada masyarakat Cina di seluruh Malaysia terutama di Bentong kini menurun sekitar 10 ke 20 peratus.
Menurutnya, perkara itu berpunca daripada persepsi masyarakat yang merasakan pertukaran kuasa politik pada PRU14 tidak membawa perubahan.
"Dahulu ketika DAP meletakkan Wong Tack, ada rasionalnya kerana pada masa itu beliau menyuarakan isu projek Lynas yang kontroversi tapi perkara tersebut telah pudar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Young Syefura yang juga dikenali sebagai Rara diumumkan sebagai calon di kawasan itu bagi menggantikan Wong Tack dan dijangka berdepan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang disebut-sebut akan kembali merebut semula Parlimen Bentong.
Tiong Lai sebelum ini pernah menyandang kerusi Parlimen Bentong selama tiga penggal iaitu sejak PRU11 hingga PRU13.
Pada PRU13 lalu, beliau mendapat undian sebanyak 25,947 dengan majoriti 379 setelah menewaskan Wong Tack yang pada masa itu bertanding atas tiket Pakatan Rakyat (PR).
Sementara itu, pada PRU12, Tiong Lai memperoleh undi sebanyak 25,134 dengan majoriti 12,549 sokongan setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ponusamy Govindasamy.
Manakala pada PRU11, sebanyak 27,144 undi diperoleh dengan majoriti 16,839, setelah menewaskan calon DAP, Abu Bakar Lebai Sudin.
Bagaimanapun Tiong Lai tewas kepada kepada PH pada PRU14 setelah calonnya, Wong Tack mendapat undian sebanyak 25,716 dengan majoriti 2,032.
Mengulas mengenai pencalonan Young Syefura, Yun Fah berkata, rasional keputusan itu dibuat adalah bagi menghadapi sokongan masyarakat Bentong yang dijangka memihak kepada Tiong Lai.
Jelas beliau, Tiong Lai mempunyai rekod dan prestasi yang baik memandangkan pernah menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu selama tiga penggal.
"Kekalahan Tiong Lai pada PRU14 disebabkan gelombang penolakan rakyat kepada BN pada masa itu,” katanya.
Dalam pada itu, Yun Fah turut menjangkakan terdapat kesukaran untuk Wong Tack yang dilaporkan bertanding sebagai calon Bebas bagi merampas kembali kerusi itu.
"Kebiasaannya pengundi akan pilih calon daripada parti, dan jarang berikan undi kepada seorang calon Bebas tapi apa-apa pun, ia bakal memecahkan undi kepada DAP nanti,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca