KEMUNCULAN pejuang muda Palestin yang membentuk sebuah kumpulan bersenjata baharu dikenali dikenali sebagai Lion's Den atau Arren al-Ossoud dalam bahasa Arab atau Sarang Singa dalam bahasa Inggeris kini ditakuti oleh pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat.
Populariti kumpulan tersebut telah merebak seperti api di seluruh wilayah Palestin melalui saluran Telegram dan ramai anak-anak muda yang bersekutu dengan pergerakan Fatah, Jihad Islam dan Hamas bergabung menyertainya bagi menentang rejim Zionis baru-baru ini.
Nama kumpulan itu tidak pernah didengari sebelum ini tetapi mula terpampang di media sejak beberapa minggu lalu dan peningkatan pesatnya telah membimbangkan pasukan keselamatan rejim Zionis kerana lebih 21 penduduk Israel telah terbunuh setakat ini sejak kemunculannya.
Walaupun tentera Israel berusaha untuk melemahkan kumpulan yang baru ditubuhkan itu, namun sehingga kini rejim Zionis itu masih tidak tidak mempunyai idea yang jelas tentang asal usul, pengaruh dan kesan masa depan Lion's Den.
Bagaimanapun, wawancara dengan akhbar Yedioth Ahronoth, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz mendakwa kumpulan tersebut mempunyai 30 anggota dan ia menjadi topik perbincangan antara Gantz dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Yair Lapid, bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett, ketua-ketua agensi perisikan Mossad serta Shin Bet.
Perkhidmatan keselamatan Israel rejim Zionis pernah menuduh Hamas di Turkiye sebagai penaja Lion’s Den dengan menggunakan wang dan persenjataan serta mendakwa bahawa Saleh al-Arouri iaitu Timbalan Ketua Biro politik pergerakan Islam itu sedang menyelia aktiviti kumpulan berkenaan.
Namun, Lion’s Den menafikan dakwaan tersebut tetapi mengesahkan bahawa ahlinya-ahlinya pernah terlibat dengan kumpulan-kumpulan pejuang lain, menurut saluran kumpulan yang digeruni rejim Zionis itu di saluran Telegram.
Contohnya, Saed al-Kuni iaitu seorang pejuang Palestin yang baru-baru ini dibunuh oleh tentera Israel dalam satu serangan hendap yang berlaku di pinggir Nablus, Tebing Barat merupakan ahli Lions’ Den.
Malah, stesen penyiaran Israel, Channel 12 melaporkan pada 22 September lalu bahawa Musab Shtayyeh iaitu seorang pegawai kanan Hamas adalah seorang anggota pengasas Lion’s Den dan beliau didakwa membeli senjata-senjata dan peluru-peluru yang bernilai AS$1 juta (RM4.71 juta).
SERANGAN
Anggota-anggota kumpulan itu memakai pakaian serba hitam dan bersenjata telah melakukan banyak serangan terhadap tentera Israel dengan ahli-ahlinya didakwa berumur antara 17 tahun dan 25 tahun berjalan di bandar Nablus.
Ia juga tidak ada kaitan dengan kumpulan-kumpulan politik tradisonal Palestin.
Bagaimanapun, ramai daripada ahli kumpulan itu berasal daripada keluarga yang dikaitkan dengan pergerakan Fatah tetapi mereka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan pejuang termasuk Hamas dan Jihad Islam dalam perjuangan menentang penjajahan Israel.
Kumpulan tersebut juga bersedia untuk mati dan berjuang untuk penduduk Palestin dan agama mereka selain dianggap sebagai generasi yang sanggup berkorban.
Menurut Hani Al-Masri iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Strategik Palestin, apabila tentera Israel menyerbu Kota Lama Nablus, anggota-anggota kumpulan tersebut tidak bertindak melarikan diri.
Sebaliknya, anggota-anggota itu berjuang sehingga mati syahid sekali gus menunjukkan mereka tidak mengharapkan kemenangan yang pantas.
Sebelum ini, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab membunuh seorang askar Israel dalam serangan tembakan berhampiran Nablus dan sejak itu tentera rejim Zionis telah mewujudkan pusat-pusat pemeriksaan bagi tujuan keselamatannya.
Pada 16 Oktober lalu, seorang anggota kumpulan itu melemparkan bom tangan ke arah tentera Israel berhampiran Nablus sehingga menyebabkan beberapa anggotanya mengalami kecederaan namun pasukan pertahanan Israel mengaku kejadian itu berlaku tetapi berkata tiada kecederaan yang dilaporkan.
Lebih 115 pejuang dan orang awam Palestin telah terbunuh tahun ini, jumlah korban paling ramai di Tebing Barat sejak hampir tujuh tahun, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ia merupakan jumlah korban yang kedua tertinggi sejak berakhirnya intifada kedua atau kebangkitan awal menentang tentera Israel pada tahun 2000-an susulan intifada pertama yang berlaku pada 1987 hingga 1993 yang membawa kepada Perjanjian Oslo.
"Ia boleh menjadi permulaan kepada intifada baharu,” kata Khader Adnan iaitu seorang tokoh terkemuka Jihad Islam di utara Tebing Barat yang telah beberapa kali dipenjarakan oleh Israel seperti dilaporkan AFP.
"Areen Al-Ossoud (Lion's Den) menyatukan penentangan. Pemuda-pemuda ini tidak berada di bawah naungan mana-mana puak (kumpulan pejuang). Mereka menunjukkan bahawa penentangan adalah lebih penting daripada mana-mana pergerakan tunggal," katanya kepada. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca