BIARPUN penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbaki 10 hari, kehangatannya kian terasa apabila beberapa negeri dan Parlimen memberi bayangan calon yang bakal bertanding. Antara lokasi dikatakan kerusi panas ialah Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berbaki 10 hari, kehangatannya kian terasa apabila beberapa negeri dan Parlimen memberi bayangan calon yang bakal bertanding.

Antara lokasi dikatakan kerusi panas ialah Parlimen Batu yang mungkin menjadi rebutan lebih tujuh calon Bebas serta parti seperti Arabath Ali Arul Alavudeen daripada UMNO dan Nathan Pillai mewakili Warisan.

Parlimen Batu yang sebelum ini dipegang Pakatan Harapan (PH) bakal menyaksikan pertembungan di antara dua calon dalam parti sama iaitu P Prabakaran (penyandang kerusi) dan Tian Chua yang menjadi wakil rakyat selama dua penggal sebelum itu.

Lebih menarik apabila calon-calon yang terkenal dengan pelbagai kontroversi turut mencuba nasib bertanding seperti peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim yang dikenali sebagai Siti Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin mesra dipanggil Cleopatra.

Sebut sahaja Cleopatra, pasti ramai teringat peristiwa video tular tiga tahun lalu yang mana seorang jelitawan persis model berpakaian baju kebaya oren menuju ke sebuah bilik mesyuarat untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Cleopatra (enam dari kanan) bersama Pengerusi MIC WP merangkap Ahli Lembaga DBKL, Datuk S Rajah meninjau lokasi jalan raya berlubang yang didakwa menyebabkan banyak kemalangan kepada penunggang motosikal di sekitar kawasan Sentul, Kuala Lumpur.

Rentetan itu, Cleopatra menjadi sosok individu sensasi apabila netizen menimbulkan pelbagai spekulasi tentang tujuan dan hubungannya dengan Ahli Parlimen Muar itu, malah ada yang memfitnah dia sebagai wanita transgender.

Tidak mengambil endah gosip murahan, Cleopatra bangkit dengan kerja aktivis memperjuangkan kebajikan masyarakat.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Cleopatra yang menjadi salah seorang calon kerusi panas, Parlimen Batu pada PRU15 nanti.

SINAR PREMIUM: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Cleopatra dan perasaan menjadi calon buat pertama kali?

CLEOPATRA: Saya merupakan ibu tunggal yang membesarkan dua orang anak bernama Andromeda, 5, dan Astreanova, 4 tahun. Berasal dari Georgetown, Pulau Pinang dan menetap di Kuala Lumpur.

Saya satu-satunya pencari nafkah kepada keluarga yang terdiri daripada tujuh orang termasuk ibu, nenek dan dua abang. Saya terlibat dengan industri keselamatan dan pertahanan dan kini merupakan Pengarah Nova Defence dan Raffles Force Malaysia yang berpangkalan di Sentul, Kuala Lumpur.Saya bersemangat untuk menjadi calon buat pertama kali dan rancangan ini bermula sejak tahun lalu yang mana saya terlibat membantu golongan yang memerlukan di bawah pertubuhan bukan kerajaan saya iaitu Pertubuhan Tindakan Perikatan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Hetero Action Women Alliance (HAWA). Saya juga membuat kaji selidik secara keseluruhan dan mendapatkan pandangan penduduk di Parlimen Batu tentang hasrat, harapan serta keperluan mereka.

Presiden Hetero Action Women Alliance (HAWA), Cleopatra (tengah) menghadiri majlis ibadah Qurban Surau Al Kamariah Taman Koperasi Polis Fasa II Parlimen Batu dengan kerjasama penduduk.

SINAR PREMIUM: Apa perasaan bakal bertanding di Parlimen Batu yang juga kerusi panas?

CLEOPATRA: Saya berasa teruja kerana ia merupakan impian dan cita-cita saya. Bagi saya persaingan atau pencalonan yang ramai tidak menjadi masalah kerana ia adalah tanda bahawa terdapat lebih ramai orang yang mahu bertanggungjawab dan cintakan Malaysia.

SINAR PREMIUM:Sebagai ibu tunggal, apakah cabaran terbesar Cleopatra membahagikan masa di antara keluarga dan PRU15?

CLEOPATRA: Pastinya masa... sebagai ibu tunggal serta ahli perniagaan yang sangat sibuk, ia menjadi cabaran yang besar buat diri ini dan keluarga.

Namun, keluarga faham keadaan itu dan saya percaya pengorbanan yang dilakukan demi kemaslahatan penduduk di Parlimen Batu akan dinilai ALLAH SWT.

Sekiranya diberi amanah sebagai wakil rakyat, saya akan melakukan yang terbaik untuk penduduk di Parlimen ini.

SINAR PREMIUM: Harapan dan perjuangan Cleopatra?

CLEOPATRA: Sebagai calon Bebas, saya ingin memperjuangkan keadilan dan kesamarataan di antara golongan kaya serta miskin. Saya akan lebih fokus kepada golongan rentan di Bandaraya Kuala Lumpur yang masih ramai tidak terbela oleh kerajaan. Saya juga tidak akan terpengaruh dengan ideologi mana-mana parti politik dan politik kepartian.


PROFIL


Nama penuh: Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin

Nama pangilan: Cleopatra

Umur: 28 tahun

Pekerjaan/jawatan:

- Pengarah Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd

- Pengarah Nova Defence Sdn Bhd

Asal: Georgetown, Pulau Pinang

Pendidikan:Diploma Kaedah Pengajaran Bahasa Inggeris Montessori, London Teachers Training College, Amerika Syarikat


5 FAKTA MENARIK:


- Seorang ibu tunggal dan mempunyai dua cahaya mata bernama Andromeda, 5 dan Astreanova, 4.

- Menceburi bidang dimonopoli golongan lelaki iaitu Industri Pertahanan dan Keselamatan.

- Merupakan sole bread winner sejak usia muda kepada keluarga seramai tujuh orang.

- Dikenali sebagai seorang yang sangat garang oleh rakan-rakan tetapi sangat penyayang terhadap kanak-kanak.

- Hanya tidur empat jam sehari atau tidak tidur langsung. Cleopatra masih tidur di atas lantai, sementara anak-anaknya tidur di atas katil kerana tidak boleh berenggang dengan ibu mereka.

Klik di sini untuk terus membaca