TIDAK beberapa lama dahulu, kerajaan telah mengumumkan untuk membenarkan guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga dikatakan sedang... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK beberapa lama dahulu, kerajaan telah mengumumkan untuk membenarkan guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga dikatakan sedang meneliti untuk memberi kebenaran kepada penjawat awam terlibat secara aktif dalam aktiviti politik.

Kebenaran kepada penjawat awam khususnya warga pendidik untuk terlibat dalam aktiviti politik seharusnya dilihat dari sudut positif oleh semua pihak.

Warga pendidik terutama golongan pensyarah memiliki tahap intelek dan kebijaksanaan yang tinggi dan boleh digunakan bagi memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Kita tidak seharusnya mengehadkan sumbangan pensyarah kepada masyarakat melalui penerbitan buku dan artikel, atau setakat memberi syarahan di seminar atau persidangan sahaja. Pensyarah seharusnya dibenarkan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat melalui skop lebih luas.

Ini termasuk menggalakkan mereka menawarkan diri sebagai calon pilihan raya di dalam negara kita. Pada masa kini, agak sukar untuk golongan pensyarah melibatkan diri secara aktif di dalam dunia politik, apatah lagi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Pensyarah yang ingin melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti politik perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan, dekan atau naib canselor di universiti mereka. Kebenaran ini bagaimanapun sukar untuk diperoleh menyebabkan mereka terpaksa meletakkan jawatan sebagai pensyarah di universiti terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding.

Sekiranya mereka menang pilihan raya, hasrat untuk berbakti kepada masyarakat sebagai seorang wakil rakyat dapat dipenuhi. Tapi jika tewas, mereka menjadi seorang penganggur kerana tidak lagi berkhidmat di universiti.

Ini yang menyebabkan ramai golongan pensyarah merasa bimbang, takut dan teragak-agak untuk menceburkan diri secara aktif dalam arena politik negara. Sekiranya ini terus diamalkan di negara ini, ia membawa kerugian pada negara.

Di kala kita sedang bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan dalam dunia politik, isu sebegini perlu diberi perhatian. Golongan intelektual dan bijak pandai seperti pensyarah seharusnya diberi lebih banyak ruang, peluang serta galakan untuk melibatkan diri dalam dunia politik.

Galakan ini bukan hanya setakat untuk melibatkan diri mereka di dalam aktiviti-aktiviti biasa politik, malah membenarkan mereka menjadi calon pilihan raya tanpa perlu meletakkan jawatan terlebih dulu.

Rakyat Malaysia berhak memiliki seorang wakil rakyat yang benar-benar berkualiti, bijak serta mampu berkhidmat dengan lebih cekap dan profesional. Ciri ini sebenarnya ada pada golongan ahli akademik termasuk pensyarah.

Oleh demikian, JPA disarankan supaya mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan penjawat awam dalam negara ini terlibat dengan aktiviti politik.

JPA boleh mengeluarkan satu pekeliling baharu dan jelas untuk memudahkan ahli akademik atau pensyarah khususnya yang berkhidmat di universiti awam menawarkan diri sebagai calon pilihan raya tanpa mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.

Bagaimanapun, kebenaran ini perlu disertakan dengan beberapa syarat mudah seperti perlu mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh kempen pilihan raya dan memastikan segala tugas serta tanggungjawab hakiki mereka di universiti tidak terganggu, terutama proses pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar.

Sekiranya pensyarah tersebut berjaya memenangi pilihan raya, barulah mereka boleh meletak jawatan supaya tumpuan dapat diberikan sepenuhnya terhadap tugas wakil rakyat.

Namun, sekiranya tewas, mereka boleh dibenarkan bertugas semula seperti biasa sebagai seorang pensyarah dan penjawat awam agar tidak bergelar penganggur.

* Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Klik di sini untuk terus membaca