KALAU debat bukan budaya kita, mustahil dalam bahasa Melayu ada ungkapan ‘bertikam lidah’.
Tetapi, sesuatu perkara yang berasal dan sudah bertapak di dalam budaya kita, yang lebih penting ialah sama ada ia membawa manfaat atau sebaliknya.
Kalau bermanfaat, sekalipun ia tidak berasal dari bumi ini, kita harus jadikan ia bertapak di sini.
Contoh yang paling baik ialah cili. Hari ini, sebahagian besar masakan Melayu tidak terjadi kalau tanpa cili.
Tetapi, kalau Raja Parameswara terdengar peribahasa ‘siapa makan cili terasa pedas’, baginda tidak akan faham kerana cili tiada di Nusantara pada kurun-15.
Cili berasal dari Mexico dan bumi persisiran Laut Caribbean dan dibawa ke Asia oleh orang Portugis pada kurun-16.
Debat politik memanglah pedas semacam cili. Kalau cili membuka selera, apakah kebaikan debat politik?
Kita boleh ambil iktibar daripada perdebatan antara ahli-ahli Parlimen Parti Konservatif, parti pemerintah United Kingdom yang bersaing untuk menjadi pemimpin parti yang turut menjadi Perdana Menteri selepas peletakan jawatan Boris Johnson.
Bermula dengan lapan orang calon, calon-calon yang lemah disingkirkan dalam beberapa pusingan oleh ahli-ahli Parlimen yang mengundi, sampai tinggal dua orang calon terkuat, Liz Truss dan Rishi Sunak untuk diundi oleh semua ahli biasa Parti Konservatif.
Tiga pusingan debat yang disiarkan di rangkaian TV nasional – Channel 4, ITV dan BBC1 - berlaku di antara pengundian-pengundian ini supaya ahli-ahli Parlimen dan ahli biasa Konservatif, malah juga orang ramai dan masyarakat antarabangsa dapat menilai kaliber dan dasar yang dibawa oleh calon-calon ini.
Perbezaan dasar terbesar antara Liz Truss dan Rishi Sunak ialah mengenai cukai. Truss percaya Britain harus menurunkan cukai untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, manakala Sunak ingin menaikkan cukai untuk menampung perbelanjaan cukai yang tinggi.
Sungguhpun Truss yang lebih popular dalam kalangan ahli biasa Konservatif berjaya menjadi Perdana Menteri, apabila beliau terpaksa meletak jawatan selepas 45 hari kerana dasarnya menjatuhkan pasaran kewangan, Sunak yang tepat mengkritik dasar Truss segera mendapat sokongan daripada majoriti ahli-ahli Parlimen Konservatif untuk menjadi pengganti Truss.
Mari kita renung kembali politik tanah air. Apa jaminan kerajaan yang dihasilkan oleh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menghasilkan kerajaan yang siap siaga menghadapi krisis tiga lapis: kesihatan, alam sekitar dan ekonomi?
Krisis kesihatan belum tamat lagi kerana Covid-19 masih menghasilkan varian baharu, malah wabak zonotik (berasal daripada haiwan) yang baharu mungkin muncul bila-bila masa.
Krisis alam sekitar memang sudah dirasai kita semua dengan banjir kilat yang berlaku bila-bila masa akibat perubahan iklim.
Krisis ekonomi juga sudah sampai, dengan nilai ringgit yang terus menjunam, harga barang yang melambung naik dan bayangan kemelesetan sedunia pada tahun depan.Apakah perbezaan dasar antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN)?
Kalau Truss dan Sunak yang separti pun boleh memberikan alternatif berbeza, mengapa pemimpin kita segan untuk menunjukkan perbezaan polisi sesama lain? Adakah mereka siap siaga dengan krisis-krisis ini?
Apa yang kita perlukan bukan risalah manifesto, bukan ceramah tetapi debat di kaca televisyen!
Mulakanlah debat di peringkat menteri atau jurucakap antara BN, PH dan PN. Jangan berlengah lagi. Jadilah debat dasar budaya kita.
* Profesor Wong Chin Huat merupakan Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.
Klik di sini untuk terus membaca