SHAH ALAM - Tindakan DAP 'memindahkan' beberapa wakil rakyatnya di Selangor secara besar-besaran menunjukkan parti itu yakin mereka akan terus mendapat sokongan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan DAP 'memindahkan' beberapa wakil rakyatnya di Selangor secara besar-besaran menunjukkan parti itu yakin mereka akan terus mendapat sokongan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Malah parti itu juga meletakkan keyakinan akan menang besar di kawasan bandar seperti Damansara, Puchong, Klang dan Bangi sama seperti PRU14 lalu.

Malah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, majoriti pengundi di bandar adalah terdiri daripada bukan Melayu yang menjadi penyokong setia Pakatan Harapan (PH).

Buktinya, data pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini menunjukkan corak sokongan pengundi bukan Melayu terutama di kawasan bandar masih berpihak kepada DAP dan PH, walaupun tidak setinggi PRU14 lalu.

Berikutan itu, Hisomuddin berkata, DAP berada pada tahap keyakinan yang tinggi bahawa polar pengundian pengundi bukan Melayu tidak akan berubah pada PRU15 tidak lama lagi.

"Jadi kepimpinan tertinggi DAP tetap yakin mereka akan mampu mempertahankan kerusi Parlimen sedia ada biarpun calonnya bertukar-tukar kawasan ditandingi misalnya Gobind Singh Deo berpindah ke Damansara (ganti Tony Pua) dan tempatnya bakal diganti oleh penyandang Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin.

"DAP melihat walaupun penyandang kerusinya sekarang berpindah kawasan, namun ia tidak menjejaskan peluang untuk menang kerana majoriti pengundi bukan Melayu masih kekal menyokong PH," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

HISOMMUDIN

Hisomuddin berkata, demikian ketika mengulas pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pada Khamis yang memaklumkan Gobind Singh berhijrah ke Parlimen Damansara bagi menggantikan Tony Pua yang mengumumkan tidak akan bertanding, pada PRU15 nanti.

Loke juga mengumumkan Bee Yin akan bertanding di Puchong menggantikan Gobind manakala Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC), Syahredzan Johan akan bertanding di Parlimen Bangi.

Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau bakal menggantikan Chales Santiago di kerusi Parlimen Klang.

Untuk rekod pada PRU14, DAP menang di Parlimen Damansara, Klang, dan Bangi (Ong Kian Ming).

Dalam pada itu, Hisomuddin berkata, tindakan bekas wakil rakyat DAP seperti Wong Tack mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di kerusi itu selepas digugurkan sebagai calon PRU15 adalah perbuatan sia-sia dan merugikan diri sendiri.

"Saya menganggap tindakan Tack mahu bertanding sebagai calon bebas dan menentang wakil DAP sendiri sebagai satu pembuatan 'membunuh diri' kerana mereka sukar untuk menang. Saya melihat pengguguran nama Santiago adalah kerana faktor kemelut dalaman DAP sendiri dan bukan satu kehilangan besar kepada DAP, dalam PRU15 nanti," katanya.

CHIN HUAT


Sementara itu, Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia untuk Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN-Asia) di Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, DAP hanya akan tewas sekiranya calon yang menggantikan penyandang di kerusi Parlimen itu lebih lemah dan kurang popular.

"Apabila parti memindah calon ke kawasan lain, ini bermakna mereka percaya pengundi mengundi mengikut parti, tidak kisah siapa calon biarpun calon yang dipindahkan itu kuat.

"Akan tetapi, jika calon yang menggantikan penyandang itu lebih lemah dan kurang popular, parti mungkin dihukum oleh pengundi dengan tidak keluar mengundi," katanya.

Dalam pada itu, Chin Huat tidak menolak kemungkinan Syahredzan akan menjadi pilihan pengundi di Parlimen Bangi, susulan latar belakang beliau sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan profesional, bukan hanya faktor beliau calon Melayu semata-mata.

"Kawasan Parlimen Bangi adalah tempat terletaknya pusat pengajian seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan banyak orang muda serta cendekiawan. Ciri-ciri ini membolehkan Kian Ming memenangi di Bangi dengan 65 peratus undi.

"Jadi pengganti Kian Ming mesti juga seorang yang cerdik pandai, kompeten dan sesuai dengan politik kurun ke-21," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca