KUALA LUMPUR - Perdebatan melibatkan calon Timbalan Perdana Menteri bergantung kepada situasi dan individu berkenaan iaitu kepentingannya pada waktu itu, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Menurutnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada waktu ini lebih mahu memfokuskan kepada kerja-kerjanya sebagai Perdana Menteri, kawasan Bera yang diwakilinya dan bagaimana untuk membantu BN berkempen di seluruh Malaysia.
"Itu yang menjadi keutamaan beliau. Debat atau tidak debat ini, saya pun sudah banyak kali berdebat akhirnya ia bergantung kepada penonton. Kalau penonton sudah 'totok' satu pihak, apa sahaja hujah yang diberikan, dia merasakan pihak itu menang.
"Jadi, ini adalah satu bentuk pengiklanan apa visi kita. Tetapi macam saya sebut tadi, banyak cara lain boleh buat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar yang bertajuk 'Peluang Kedua BN' disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mencadangkan agar tiga calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BN mengadakan debat secara terbuka sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Ismail Sabri menolak cadangan dibuat Anwar agar calon perdana menteri dipertemukan dalam sesi perdebatan.
Naib Presiden UMNO itu berkata, amalan berdebat untuk calon perdana menteri bukanlah budaya di negara ini, selain menganggap tidak ada faedah yang dapat diperoleh daripada sesi tersebut.
Tambah Shahril, dalam konteks PRU15, yang perlu dilihat adalah keutamaan dari segi kempen dan penyampaian mesej kepada rakyat.
"Yang penting bagi saya ialah rakyat nak melihat calon atau pemimpin itu bersuara apakah visinya untuk masa depan.
"Yang penting nak melihat bagaimana calon dan pemimpin itu bergelumang dengan masyarakat, apakah idea-idea untuk selesaikan masalah di kawasan? Perkara itu boleh ditonjolkan dalam debat dan juga ditonjolkan dengan kaedah yang lain," jelasnya.
Sementara itu, Shahril turut menyentuh mengenai cadangan tiga timbalan perdana menteri masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Sebenarnya ialah kualiti mereka dilantik dalam mana-mana jawatan kabinet dan dapat membawa perspektif pelbagai dalam barisan jemaah menteri itu.
"Kalau semuanya hanya satu jenis atau satu segmen pemikiran, datang daripada tempat yang sama, latar belakang sama, tidak akan mencerminkan kepelbagaian Malaysia.
"Yang penting bukan semata-mata dia dapat jawatan timbalan perdana menteri itu, tetapi apakah yang dia boleh bawa untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca