KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyerahkan kepada parti sama ada untuk mencalonkannya atau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November depan.
Menurutnya, sekiranya dicalonkan di mana-mana tempat dalam PRU15, beliau akan melakukan sebaik mungkin di kawasan yang diwakilinya.
"Saya orang parti. Terserah kepada parti untuk pertama membuat keputusan sama ada saya bertanding atau tidak. Kedua, kalau saya bertanding adakah di bahagian saya sendiri yang mana saya menjadi ahli di Kuala Langat atau di mana-mana yang mereka rasa sesuai.
"Bukan semata-mata untuk menang untuk diri sendiri tetapi yang lebih penting adalah menabur khidmat di kawasan tersebut, memastikan anak muda terutamanya bukan hanya di tempat itu tetapi di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar yang bertajuk 'Peluang Kedua BN' disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.
Dalam PRU14 yang lalu, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh majoriti 17,112 undi di Kuala Langat menewaskan Shahril (BN) dan seorang lagi calon dari Pas, Yahya Baba.
Shahril dalam masa sama turut mengharapkan agar lebih ramai individu dalam generasinya akan berkhidmat di Parlimen.
"Kerana pembentukan dasar ini adalah suatu perkara yang kita perlu buat elok-elok (dan) suara-suara untuk kita merangka masa depan negara ini mesti wujud dalam kalangan generasi 20an, 30an.
"Bagi saya ia lebih melangkaui mana-mana individu termasuk saya sendiri tetapi siapa yang boleh buat terbaik di tempat yang dicalonkan, di negaranya dan generasinya," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca