SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memiliki potensi dan kelebihan tersendiri untuk merampas kerusi Parlimen Gombak, daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis Politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Amirudin mempunyai peluang lebih cerah untuk menang di kerusi berkenaan kerana statusnya sebagai Menteri Besar dan mendapat sokongan jentera kerajaan negeri.
Jelasnya, Amirudin juga memiliki kekuatan undi bukan Melayu serta penyokong PH.
Akuinya, pertembungan di antara kedua-dua pemimpin merebut kerusi Parlimen Gombak juga dilihat amat menarik kerana Amirudin pernah dilabelkan sebagai ‘budak Azmin’ dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Biarpun nama Amirudin tidak sebesar Mohamed Azmin, namun beliau tetap ada kelebihan tersendiri kerana boleh menggerakkan jentera kerajaan negeri untuk membantu kempennya susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor belum dibubarkan,” katanya pada Khamis.
Awang Azman tidak menolak kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menamakan Amirudin bagi menentang Mohamed Azmin sebagai strategi memisahkan dua individu itu.
"Ia strategi serampang dua mata Anwar iaitu pertama untuk mengurangkan keakraban Amirudin dan Mohamed Azmin serta keduanya, membolehkan PH merampas kembali kerusi Parlimen Gombak daripada bekas Timbalan Presiden PKR itu.
"Amirudin sendiri sudah pasti mahu membuktikan kesetiaannya kepada Anwar dan PKR dengan menentang Mohamed Azmin,” katanya.
Pun begitu tegas Awang Azman, pertembungan dua figura politik itu juga memberi manfaat kepada BN.
"Mohamed Azmin menang PRU14 di Parlimen Gombak atas tiket PKR. Apabila beliau bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional, belum tentu beliau boleh ulangi kejayaan seperti PRU14 kerana undi di kawasan itu berpecah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca