SHAH ALAM - Kesukaran Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk mendapat tempat di Kelantan antara faktor utama beliau terpaksa bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya.
Menurut penganalisis politik dan geostrategis, Profesor Madya Dr Azmi Hassan, peluang Mohd Radzi mencipta kejutan untuk menang di Ketereh, menewaskan Tan Sri Annuar Musa dari BN, tidak mungkin tercapai sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Jelasnya, mustahil untuk Pas, yang menguasai Kelantan memberikan kerusi selamat lain kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun kedua-dua parti itu berada dalam koalisi Perikatan Nasional (PN).
"Agak mustahil Pas memberikan kerusi selamat lain untuk Mohd Radzi kerana di Ketereh sendiri, Annuar akan mempertahankan kerusi beliau. Selain itu, Mohd Radzi juga masih dianggap sebagai calon baharu dalam politik yang menyukarkan dirinya untuk bertanding di Kelantan terutamanya di kawasan UMNO,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata, keputusan PN meletakkan Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu adalah satu tindakan tepat kerana Putrajaya merupakan lubuk pengundi penjawat awam.
Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan turut menyuarakan pandangan sama meskipun Putrajaya sebelum ini dianggap kubu kuat UMNO.
"Saya rasa tidak ada pertarungan sengit yang dibawa oleh parti lawan di Putrajaya. Kebiasaannya, UMNO memang menang mudah di Putrajaya kerana penjawat awam memberikan sokongan kuat kepada parti kerajaan dan tidak ada banyak pihak lawan yang meletakkan calon yang kuat di sana.
"Ini suatu percaturan yang cukup menarik dibuat oleh PN kerana mereka memerlukan sesuatu yang boleh membawa saingan yang sengit kepada UMNO di Putrajaya yang dikenali sebagai pintu masuk politik Malaysia,” katanya.
Katanya, pengalaman Mohd Radzi sebagai menteri kanan sejak dua penggal juga memberikan kelebihan kepada PN.
"Putrajaya memang kawasan yang didominasi penjawat awam. Di sana memang menjadi tempat selamat. Ini lebih kepada percaturan pengundi Melayu yang mendominasi di Putrajaya.
"Mohd Radzi mempunyai hubungan yang baik dengan penjawat awam sejak dilantik dan rajin turun padang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca