PERANG dingin sudah lama berlalu. Namun, di sebalik jendela politik, perang dingin sebenarnya masih berterusan, cuma watak pelakon agak berbeza. Kalau dahulu, Amerika Syarikat (AS) menentang Soviet Union (Rusia), kali ini AS memerangi China dalam pelbagai cara.
Kisah gergasi telekomunikasi dunia, Huawei ditekan oleh AS menyebabkan ramai pengguna Huawei bermasalah. Desakan AS juga menyaksikan beberapa negara blok sekutu termasuk Lithuania mengarah rakyatnya agar tidak membeli produk jenama Huawei.
AS mendakwa Huawei bersekongkol dan mempunyai hubungan perniagaan dengan Iran yang berdepan sekatan ekonomi dunia. AS juga menuduh Huawei termasuk Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Meng Wanzhou Meng melakukan jenayah, antaranya penipuan bank dan pencurian teknologi. Huawei menolak keras dakwaan itu.
Kini, timbul pula dakwaan terbaharu. AS mendakwa TikTok menggunakan tipu muslihat untuk menjejaki lokasi warga AS yang bermastautin di China. Nampaknya, AS tidak pernah berhenti untuk menghambat syarikat konglomerat China.
Ada juga percaya AS mendesak sekutu setianya, Britain untuk memerangi China. Misalnya, pada 20 Oktober lalu, wartawan Maklumat Palsu Global BBC News, Hannah Gerlbart melaporkan TikTok melarang kanak-kanak bawah umur melakukan penstriman langsung.
TikTok kini menaikkan had umur minimum untuk penstriman langsung daripada 16 tahun kepada 18 tahun mulai November tahun ini.
Gerlbart seterusnya mendakwa TikTok telah ‘menyedut’ 70 peratus daripada derma wang tunai diperoleh beratus-ratus akaun disiarkan secara langsung dari kem pelarian Syria oleh kanak-kanak berumur serendah lapan tahun.
Gerlbart juga mendakwa TikTok tidak menjelaskan bagaimana ia akan menguatkuasakan sekatan umur tersebut, sedangkan Meta, pemilik Facebook dan Instagram serta Google yang memasyhurkan YouTube mempunyai umur penstriman langsung minimum 13 tahun.
Sehari selepas laporan Gerlbart tersiar, BBC News melaporkan penafian TikTok tentang dakwaan ia menggunakan aplikasi media sosial tersebut untuk menjejaki warga AS. Tiktok menegaskan tiada data rakyat AS diguna atau diakses tanpa kebenaran.
Sekali lagi penulis percaya AS sebenarnya sedang mengawasi kekuatan TikTok. Hakikat yang jelas adalah hampir tujuh juta pengguna menghabiskan purata 95 minit atau lebih satu setengah jam sehari melayari TikTok.
Paling menarik, 22 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia dan angka itu sangat memeranjatkan!
Dalam satu laporan berbeza di AS beberapa hari lalu, memetik dokumen dijumpai dalam siri penyiasatan menyatakan ByteDance telah memulakan projek pemantauan menyiasat salah laku pekerja AS di China.
Pasukan penyiasat TikTok dilantik ByteDance berpangkalan di Beijing telah merancang mengumpul data lokasi warga AS. ByteDance bingkas menyangkal laporan berkenaan.
Ia mendakwa aplikasi TikTok tidak berupaya mengumpul maklumat GPS dengan tepat tentang lokasi pengguna rakyat AS.
Penulis turut menerima maklumat terkini daripada sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT) di Pekan Baru, Indonesia menyebut tentang TikTok menggunakan 22 jenis teknologi produk dan perkhidmatan, antaranya HyperText Markup Languange (HTML) versi 5 atau HTML5 yang didakwa menggunakan teknologi koding bagi menstrukturkan halaman web.
TikTok juga dikatakan secara aktif menggunakan 13 lagi teknologi untuk laman web termasuk Viewport Meta, iPhone atau telefon bimbit dengan teknologi Rangkaian Penghantaran Kandungan atau Content Delivery Networks (CDN).
TikTok turut didakwa menggunakan aplikasi enjin kecerdasan buatan (AI) berkonsepkan sistem Pembelajaran Mesin dan Mendalam (Machine and Deep Learnings) seperti teknologi penglihatan komputer (computer vision), pemprosesan bahasa semula jadi (natural language processing) dan metadata untuk mengesan jenis algoritma kandungan video, akaun, profil, lokasi serta minat pengguna.
Kelihatan kepada penulis seolah-olah TikTok cuba untuk mengawal data privasi pengguna. Justeru, penulis menasihatkan pengguna TikTok di Malaysia tidak terlalu ghairah melayari aplikasi sosial media tersebut atau yang lain.
Kesimpulannya, atas nama apa sekalipun, media sosial memiliki agenda tersembunyi untuk menghancurkan masyarakat pengguna. Pada saat mereka mengaut keuntungan berbilion ringgit, warga maya Malaysia ‘terkorban’.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca