SHAH ALAM - Kumpulan 'Parti Aku Malas Undi' (PAMU) dijangka menjadi 'king breaker' dan penentu gabungan parti mana bakal menang 145 kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu/Islam/bumiputera di Semenanjung, Sabah dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kumpulan 'Parti Aku Malas Undi' (PAMU) dijangka menjadi 'king breaker' dan penentu gabungan parti mana bakal menang 145 kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu/Islam/bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menentukan siapakah akan menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saintis politik dari Sunway University, Profesor Wong Chin Huat berkata, secara umumnya terdapat kira-kira enam juta pengundi baharu yang pertama kali akan mengundi pada PRU15 termasuk 20 peratus adalah pengundi baharu berusia 18 tahun dan 80 peratus lagi merupakan golongan PAMU yang didaftarkan secara automatik mulai 15 Disember 2021.

Beliau berkata, golongan PAMU atau pengundi didaftarkan secara automatik pada asalnya tidak peduli mengenai politik dan mungkin kekal begitu hingga kini.

"Kalau mereka marah dengan mana-mana parti, maka kemarahan mereka boleh 'melemaskan' parti berkenaan tetapi kuasa mereka nampaknya tidak diambil kira oleh UMNO," katanya kepada Sinar Premium.

PADA 'UNDIBANJIR'

Dalam pada itu, Chin Huat turut meramalkan BN/UMNO akan dihukum pengundi jika berlaku kematian akibat banjir ketika hari pengundian nanti.

"Faktor paling utama mungkin menjadi penentu gabungan mana menguasai 145 kerusi majoriti Melayu Islam ialah banjir.

"Kalau banjir kilat atau banjir besar berlaku dan meragut nyawa dalam tempoh kempen serta hari pengundian, maka UMNO akan dihukum kerana memaksa 'UndiBanjir'.

"Itu akan membahayakan BN, bukan saja di kawasan dilanda banjir, malah kawasan genting yang terlepas daripada banjir.

"Selain itu, pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menghantar pesanan kepada pengundi bahawa undi mereka berkuasa untuk menghukum perasuah dan mereka yang gila kuasa," katanya.

PERTEMBUNGAN 4 PENJURU

Chin Huat juga meramalkan besar kemungkinan berlaku pertembungan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) di kebanyakan kawasan, bukan hanya 145 kerusi Parlimen mempunyai pengundi majoriti Melayu Islam sahaja.

Namun, jelas beliau, tidak mustahil gabungan parti politik berkenaan membuat perjanjian persefahaman antara satu sama lain bagi mengelak pertembungan yang akhirnya merugikan mereka sendiri di sesetengah kawasan Parlimen.

"Perjanjian mungkin dicapai pada minit-minit terakhir untuk mengelak pertembungan di sesetengah kawasan. Sebagai contoh, UMNO dan Pas mungkin bersetuju menghantar seorang calon sahaja di sesetengah kawasan di Selangor dan Pulau Pinang.

"Begitu juga UMNO dan PH mungkin mencapai persetujuan sedemikian di Kelantan dan Terengganu, manakala Bersatu dan Pejuang mungkin mencapai persetujuan terhad di sebilangan kecil kawasan," katanya.

Chin Huat juga menjangkakan BN mungkin dapat mempertahankan sebahagian daripada kira-kira 60 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi majoriti Melayu Islam di Semenanjung dan Sabah pada PRU15.

"Ini kerana PH tidak kuat di kebanyakan kawasan yang benar-benar didominasi oleh Melayu Islam seperti di Kelantan dan Terengganu serta kawasan lain seperti di Pagoh dan Pekan.

"Pertembungan di beberapa penjuru antara BN, PN dan GTA tidak mengubah kesudahan salah satunya dan bukan PH akan menang," katanya.

Berikutan itu, Chin Huat meramalkan PH hanya akan menang antara 70 hingga 80 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU15.

"Itu bermaksud PH tidak mungkin mendapat majoriti mudah untuk mendominasi kerajaan, sekali gus menyebabkan mereka mungkin terpaksa berkongsi kuasa dengan parti lain dan mengambil sikap rendah diri.

"Di pihak lain, tidak munasabah bahawa semua kawasan yang mempunyai majoriti Melayu itu akan menjadi milik UMNO, Pas atau Bersatu. Ambil contoh Bangi, dahulu pengundi Melayu golongan terbesar tetapi kurang daripada 50 peratus dan DAP menang dengan 65.60 peratus undi.

"Kini Melayu menjadi majoriti, sekalipun BN, PN dan GTA letak seorang calon, siapa boleh jamin mereka akan menang.

"Persepsi bahawa pengundi Melayu mesti menyokong parti nasionalis Melayu-Muslim adalah rasis, angkuh serta menafikan pilihan pengundi Melayu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca