WALAUPUN hampas ada kegunaannya, namun tidaklah seperti santan yang begitu banyak kelebihan serta khasiat. Justeru, ramai yang inginkan santan berbanding hampas. Lantaran setiap kali musim perayaan, ramai bergegas ke pasar sejak awal pagi... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN hampas ada kegunaannya, namun tidaklah seperti santan yang begitu banyak kelebihan serta khasiat. Justeru, ramai yang inginkan santan berbanding hampas.

Lantaran setiap kali musim perayaan, ramai bergegas ke pasar sejak awal pagi untuk membeli santan. Ada juga yang membuat tempahan awal untuk mendapatkan santan.

Tapi untuk mendapatkan hampas, kita tidak perlu beratur dan membuat tempahan awal. Adakalanya dibuang begitu sahaja. Begitulah bezanya martabat santan berbanding hampas.

Sebetulnya, kehidupan kita ibarat santan dan hampas. Jika berkehendakkan ‘santan’, kita mesti berusaha dan bersaing untuk mendapatkannya. Pendek kata, tanpa usaha dan takut untuk bersaing, selayaknya kita mendapat ‘hampas’ sahaja.

Namun, bagi mendapatkan ‘santan’, usaha sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kita harus berilmu, berdisiplin, berdaya tahan, rajin berfikir, tidak mudah terikut-ikut serta terbuka, bebas menerima dan memberikan pendapat.

Oleh itu, fokus kehidupan kita adalah melakukan terbaik sama ada dalam pekerjaan, menguruskan keluarga dan anak-anak, bergaul dengan masyarakat, menuntut ilmu, memahami agama serta pelbagai aktiviti yang mendukung kehidupan kita.

Yang penting, kesepaduan pemikiran, tindak balas emosi dan segala perlakuan membuktikan apa yang kita peroleh adalah ‘santan’ bukannya ‘hampas’.

Begitulah juga dalam memilih pemimpin, kita perlu pilih ‘santan’ dan bukannya ‘hampas’. Perkara utama dalam memilih pemimpin yang bercirikan ‘santan’ ialah jujur, amanah dan benar.

Pemimpin suka berbohong, pandai menabur janji serta hanya pandai berkias tetapi culas membantu rakyat terang-terangan berada dalam kategori ‘hampas’.

Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Bohong di Dunia, "Salah satu bukti suatu jiwa yang masih berjiwa budak, jiwa hamba adalah kebiasaan berbohong, kebiasaan memungkiri janji, serta kebiasaan tidak bertanggungjawab atas suatu kesalahan dilakukan dan tidak mahu mengakui perbuatan sendiri.

"Alangkah sakitnya, sakit sekali, jika bertemu seorang pembohong, pendusta yang di hadapannya dan di hadapan kita telah bertumpuk bukti serta alasan atas suatu kesalahan dilakukannya. Namun, orang itu masih mengelak daripada tanggungjawab dan masih mungkir.”

Berkaitan hal itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Dusta adalah pangkal daripada segala dosa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Menurut Neel Burton menerusi artikelnya Psychology Today, What Is The Truth? (2019), suatu kebenaran adalah bersifat membina serta sesuai dalam pelbagai keadaan, manakala pembohongan bersifat memusnahkan dan mempertahankan diri sendiri.

Maka, benarlah apa yang dikatakan oleh Henry David Thoreau, seorang ahli falsafah di Amerika Syarikat bahawa, "Di sebalik cinta, harta dan kemasyhuran, berikan aku kebenaran.”

Dari perspektif psikologi pula, kegagalan mencari kebenaran, antaranya disebabkan oleh faktor External Control Fallacy iaitu kegagalan individu untuk melawan pengaruh persekitaran kerana kelemahan keyakinan terhadap diri sendiri. Natijahnya, pengaruh luar menentukan kehidupan mereka.

Pada hemat saya, bukan sedikit mereka yang memilih pemimpin kerana pengaruh daripada orang lain dan bukannya hasil penaakulan diri sendiri.

Malah, banyak isu negara yang mereka tidak faham serta malas pula untuk mencari kesahihan menyebabkan hanya bergantung kepada pengaruh majoriti dalam membuat keputusan untuk memilih pemimpin.

Walhal, membuat keputusan atas perkara yang kita tidak tahu dan arif menyebabkan kita mudah dimanipulasi dalam memilih pemimpin.

Selaras dengan itu, ALLAH SWT berfirman: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, 17:36).

Demi negara, pilihlah pemimpin ‘santan’, bukannya ‘hampas’.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca