DENGAN peletakan jawatan Liz Truss sebagai Perdana Menteri Britain selepas 45 hari memegang jawatan tertinggi itu, penganalisis politik dan ekonomi meneliti serta menulis ulasan yang panjang menceritakan kegagalan beliau. Satu dunia... Klik di sini untuk terus membaca

DENGAN peletakan jawatan Liz Truss sebagai Perdana Menteri Britain selepas 45 hari memegang jawatan tertinggi itu, penganalisis politik dan ekonomi meneliti serta menulis ulasan yang panjang menceritakan kegagalan beliau. Satu dunia mengatakan Truss telah memalukan Britain dan menjatuhkan air muka pemimpin-pemimpin wanita.

Pada tahun 2016, Theresa May dilantik menjadi perdana menteri wanita kedua Britain susulan peletakan jawatan David Cameron kerana satu dunia terkejut dengan referendum untuk rakyat mengundi Britain keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit).

Persamaan Truss dan May ialah mereka tidak dilantik menjadi perdana menteri melalui pilihan raya umum tetapi disebabkan perdana menteri lelaki sebelum mereka terpaksa meletak jawatan apabila gagal dari segi pencapaian atau diselubungi skandal.

Kisah perdana menteri wanita Britain kebelakangan ini merupakan contoh klasik fenomena ‘tebing kaca’ di mana wanita menjadi pilihan untuk memegang peranan kepimpinan apabila tugas di hadapan berisiko tinggi. Oleh sebab mereka diberikan amanah yang penting dalam situasi genting, risiko kegagalan amat besar.

Fenomena ‘tebing kaca’ sering berlaku dalam sektor swasta terutamanya di negara Barat. Pada tahun 2014, pengeluar kenderaan General Motors mendapati suis pencucuhan dalam lebih sejuta kereta yang dijual mempunyai kerosakan.

Walaupun perkara ini telah diketahui badan pengurusan selama beberapa tahun, ketua pegawai eksekutif wanita pertama dalam sejarah syarikat tersebut, Mary Barra terpalit dengan krisis suis pencucuhan selepas pengguna mendapati General Motors cuba menyembunyikan kesilapan mereka.

Pengalaman sama turut dialami Marissa Mayer yang dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Yahoo pada tahun perniagaan mereka mula merosot.

Biarpun wanita hari ini mendapat hak yang sama dengan lelaki, dan peranan wanita dalam masyarakat meningkat, kemajuan wanita terjejas apabila peranan yang diberi sewaktu krisis melanda.

Di Malaysia, wanita dalam politik sering diberi jawatan yang ‘dirasakan sesuai’ seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Wanita yang pernah memegang jawatan tertinggi ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Khabar angin di Kopitiam Kita pada masa itu, Wan Azizah memegang jawatan tersebut sementara menunggu suaminya keluar dari penjara untuk menggantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Akhirnya, kerajaan dianggotai Wan Azizah tidak bertahan lama dan tumbang selepas 22 bulan mentadbir.

Wan Azizah dengan tidak sengaja turut menjadi mangsa fenomena ‘tebing kaca’. Bukan sahaja beliau dikutuk kerana membenarkan budak perempuan umur 11 tahun dinikahkan di Kelantan, malah dituduh memecahbelahkan parti selepas kejadian Langkah Sheraton.

Menurut kajian Universiti Exeter yang meneliti pilihan raya umum Britain pada tahun 2005, kajian mendapati wanita lebih cenderung dipilih untuk bertanding di kerusi yang sukar dimenangi.

Menjelang hari pencalonan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Kopitiam Kita berharap calon-calon wanita tidak diletakkan untuk bertanding dalam kerusi-kerusi panas zon hitam.

Berbanding PRU pada tahun 2018 di mana 32 daripada 60 calon wanita menang kerusi Parlimen yang ditandingi, PRU tahun 1999 mempunyai peratusan ahli Parlimen wanita lebih tinggi iaitu 19 daripada 27 calon.

Perwakilan wanita dalam Parlimen Malaysia masih kurang daripada 15 peratus manakala wanita yang menyandang jawatan pengurusan dalam sektor awam sudah melebihi 30 peratus.

Ini bermaksud, pada suatu masa dahulu calon wanita yang berkeupayaan tinggi merupakan keutamaan parti dan diletakkan untuk bertanding di kerusi yang boleh dimenangi.

Dengan bakat wanita muda hari ini, Kopitiam Kita percaya pemimpin-pemimpin parti mampu menamakan calon di kerusi yang sesuai.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca