BERBANDING kehangatan perdebatan awam tentang keperluan untuk Malaysia mempunyai lebih daripada seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM), perdebatan tentang siapa bakal Perdana Menteri (PM) pula nampaknya dingin.
Ini selepas empat gabungan parti utama – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) telah pun menamakan calon PM bagi parti masing-masing.
Setakat ini BN menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (GTA).
Antara empat calon tersebut hanya Anwar yang masih belum pernah menjadi PM, manakala Dr Mahathir berpeluang menjadi PM kali ketiga, satu rekod yang tentunya unik dan tersendiri.
Bagi Ismail Sabri dan Muhyiddin, menjadi PM kali kedua tentunya mahu membuktikan kemampuan masing-masing selepas mengemudi negara dalam tempoh yang sangat mencabar, sesuatu yang tidak pernah dihadapi oleh mana-mana pemimpin sebelumnya.
Diperhatikan, kesemua mereka menawarkan perkara yang serupa – kestabilan politik, pemulihan ekonomi, perubahan politik dan reformasi institusi serta mengangkat nilai integriti dengan melawan rasuah dan penyelewengan – dalam konteks dan spektrum parti masing-masing.
Hanya sedikit penawaran yang membezakan daripada mereka. Antaranya menawarkan royalti penuh lima peratus kepada Kelantan, memotong gaji dan elaun PM di samping mengecilkan saiz kabinet, menjadi PM selama setahun serta mewujudkan jawatan TPM untuk wakil Sabah dan Sarawak.
Jelas tawaran tersebut hanyalah sesuatu yang dikitar semula daripada apa yang pernah dibangkitkan sebelumnya. Apakah tidak bagus tawaran tersebut?
Isunya bukan bagus atau tidak, ia seolah-olah memperlihatkan bakal PM tidak mempunyai idea dan tawaran baharu dalam memancing pengundi yang semakin kritikal dan terbuka.
Untuk berlaku adil dan bersangka baik, mungkin tawaran dalam manifesto masing-masing akan memperincikan perkara-perkara yang baharu dan segar.
Kalau itu berlaku, maka kita harus menunggu untuk melihatnya. Namun di peringkat awal nampaknya kita tidak melihat ia disebut oleh mereka.
Maka siapakah antara mereka yang mungkin mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjadi PM?
Setakat ini di atas kertas, Ismail Sabri dan Anwar dilihat mempunyai peluang yang baik berbanding Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Ismail Sabri membuktikan kepimpinannya melalui kejayaan mengemudi kerajaan yang tidak stabil apabila memanfaatkan perjanjian persefahaman dengan pembangkang di samping meredakan tekanan antara fraksi yang berbeza dalam parti dan kerajaan.
Malah, di sebalik ketidaktentuan politik, beliau berjaya membawa perubahan substantif dengan penguatkuasaan Akta Lompat Parti – sesuatu yang tidak akan berlaku tanpa sokongan kabinet dan pembangkang.
Dengan sokongan kuat parti sebagai bakal PM kalau BN menang, Ismail Sabri jelas menawarkan kestabilan politik yang dilihat meyakinkan – bergantung kepada persetiaan ini tidak berubah dan tradisi presiden parti menjadi PM tidak lagi diangkat dan diamalkan oleh UMNO-BN.
Walaupun begitu, Anwar juga berkelebihan kerana masih belum pernah menjadi PM – sesuatu yang tentunya mahu dilihat oleh pengundi atas pagar yang tidak berparti dan neutral.
Beliau dilihat sebagai figura yang mempunyai pakej yang lengkap – pengalaman yang luas, jaringan politik yang baik di peringkat antarabangsa, parti yang mantap serta karisma yang memikat – sesuatu yang mungkin sukar ditandingi oleh calon yang lain.
Berbanding calon lain yang sudah pernah bergelar PM, Anwar mungkin kurang kritikan yang hanya boleh dinilai kemampuannya kalau diangkat menjadi PM.
Halangan terbesar untuk itu sudah tentulah bergantung kepada sejauh mana PH mampu memenangi sebanyak mungkin kerusi terutamanya di kawasan majoriti Melayu yang sangat kritikal dan masih sukar untuk ditawan partinya.
Apa pun, siapa juga yang menjadi PM nanti bakal diletakkan dengan harapan rakyat yang cukup tinggi.
Rakyat sudah tentu mahu melihat PM baharu dan kabinetnya kelak akan lebih fokus, agresif dan tangkas dalam melaksanakan pembaharuan dan perubahan dengan strategi serta dasar yang pantas, tuntas, segar dan menyeluruh.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca