SHAH ALAM - Langkah pengenalan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal disifatkan mampu memberi kelebihan kepada parti politik dalam meraih sokongan demi mengembalikan semangat kepada rakyat untuk keluar mengundi sekali gus... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah pengenalan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal disifatkan mampu memberi kelebihan kepada parti politik dalam meraih sokongan demi mengembalikan semangat kepada rakyat untuk keluar mengundi sekali gus meningkatkan peratusan pengundi.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Nordin berkata, ketika ini rakyat sememangnya dahagakan calon-calon terdiri daripada muka-muka baharu yang lebih bertenaga khususnya dalam kalangan golongan profesional dan berkaliber.

Justeru katanya, parti-parti politik khususnya yang bukan terdiri daripada parti gergasi perlu mengambil peluang menonjolkan calon mereka lebih awal sebagai usaha meraih minat dan undi daripada rakyat yang hari ini seperti tidak berminat dengan politik.

"Sudah tentu langkah memperkenalkan calon lebih awal akan memberikan satu kelebihan terutamanya parti-parti yang bukan terdiri daripada parti gergasi yang tidak mempunyai golongan pengikut atau penyokong yang ramai.

"Maka mereka harus menggunakan strategi memperkenalkan calon lebih awal. Calon-calon parti gergasi mempunyai kelebihan kerana mereka mempunyai sokongan daripada akar umbi dan golongan ahli-ahli parti tegar yang dijangka mendominasi politik negara.

"Diharapkan impaknya akan membuatkan orang ramai kembali meminati politik dan mempunyai semangat yang kuat untuk mengundi kerana kita mengharapkan peratusan pengundi kali ini lebih tinggi daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor agar satu suasana demokrasi subur dan matang berlaku dalam negara.

"Ini kerana terjemahan dalam pengundian akan menunjukkan sejauh manakah kekuatan parti-parti politik dalam negara untuk bertanding secara adil seterusnya memberikan satu impak di mana satu sistem politik negara akan dilihat lebih matang dan lebih subur,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai langkah parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang sudah mula memperkenalkan barisan calon mereka lebih awal.

Noor Nirwandy berkata, apa yang dilakukan oleh PH adalah berkisar pada strategi menggunakan kaedah undi popular dengan memperkenalkan calon awal yang begitu sinonim dengan apa yang telah dilakukan oleh PH dalam PRU14 dan juga mana-mana kempen pilihan raya mereka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika sidang media pengumuman menamakan calon-calon sempena PRU15 di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada 26 Oktober lalu. - Foto Bernama

Katanya, PH dijangka terus memperkenalkan calon-calon lebih awal sebagai kaedah undi popular dan barisan calon yang diperkenalkan dijangka cuba memberikan impak dengan menaikkan sokongan terhadap PH.

"Ini akan memberi satu kecenderungan untuk masyarakat keluar mengundi dan masyarakat meminati calon lain berdasarkan kepada undi popular calon-calon yang diletakkan secara strategik seperti mana yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun,” jelas beliau.

Manakala, kata Noor Nirwandy, BN pula sememangnya mempunyai kelebihan dengan kaedah dominasi parti politik gergasi dan muka baharu dalam peratusan keluar mengundi yang rendah.

"Formula ini terbukti berjaya dalam PRN Melaka dan Johor. Tapi sekiranya peratusan undi tinggi, maka BN perlu berharap calon-calon muda yang dicalonkan boleh menarik perhatian pengundi untuk mengimbangi saingan perebutan kerusi Parlimen kawasan tertentu.

"Kaedah ini penting kepada BN apabila peratusan pengundi yang berkemungkinan tinggi apabila masyarakat cenderung dan aktif untuk kembali mengundi pada PRU15,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca