SHAH ALAM - Biarpun senarai penuh calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih rahsia sehingga pengumuman rasmi dibuat Perikatan Nasional (PN) pada Ahad ini, namun terdapat spekulasi beberapa nama besar pemimpin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun senarai penuh calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih rahsia sehingga pengumuman rasmi dibuat Perikatan Nasional (PN) pada Ahad ini, namun terdapat spekulasi beberapa nama besar pemimpin Pas tidak tersenarai.

Sinar Premium difahamkan, antara nama besar tidak dicalonkan semula oleh Pas untuk bertanding dan mempertahankan kerusi dimenangi mereka pada PRU14 lalu termasuklah anak bekas Menteri Besar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Untuk rekod, sebelum ini Nik Mohamad Abduh ialah penyandang kerusi Parlimen Bachok, manakala Che Abdullah adalah Ahli Parlimen Tumpat.

"Saya difahamkan nama Nik Mohamad Abduh digugurkan kerana beliau sering mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan pendirian pucuk pimpinan Pas dan dilihat antara pemimpin yang rapat dengan pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

"Nama Che Abdullah pula digugurkan kerana pelbagai sebab termasuk kontroversi rakaman video pernikahan secara dalam talian yang mengaitkan dirinya tular dalam media sosial, pada tahun lalu," katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, sumber berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Pas akan mempertaruhkan semula bekas penyandang kerusi berkenaan dari 2013–2018 iaitu Datuk Ahmad Marzuk Shaary atau wakil sayap Muslimat untuk mempertahankan kubu kuat mereka di Parlimen Bachok.

Katanya, beliau difahamkan jika Ahmad Marzuk jadi berpindah ke Bachok, maka tempatnya bakal diambil alih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

"Justeru itu, tidak hairan jika terdapat khabar angin mengatakan sebenarnya nama Nik Mohamad Abduh digugurkan daripada bertanding kerana beliau dijangka diberi laluan untuk meneruskan legasi Tok Guru Nik Aziz bertanding di kerusi Chempaka apabila DUN Kelantan dibubarkan tahun depan," katanya.

Sumber juga tidak menolak kemungkinan bahawa Pas akan menamakan Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad sebagai pengganti untuk mewakili parti itu mempertahankan kerusi Parlimen Tumpat, biarpun nama Menteri Hal Ehwal Agama Islam berkenaan, sebelum ini dikatakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang.

Katanya, Parlimen Tumpat dianggap selamat bagi Idris berbanding Bukit Gantang kerana Che Abdullah menang kerusi dengan majoriti 17,500 undi menewaskan wakil BN, Wan Johani Wan Hussein, yang mendapat 29,541 undi.

Beliau juga mengesahkan bahawa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkemungkinan besar kekal di Parlimen Kubang Kerian dan Kota Bharu.

"Biarpun sebelum ini, ada khabar angin mengatakan Tuan Ibrahim akan berpindah ke kampung halamannya di Jerantut dan Takiyuddin bakal bertanding di Sik, namun perkara berkenaan amat berisiko tinggi," katanya.

Sumber juga mengesahkan bahawa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, hampir pasti menjadi taruhan Pas untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rantau Panjang pada PRU15 nanti.

"Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, pula dijangka diberikan kepercayaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Puteh yang dimenanginya pada PRU14 lalu.

"Pas juga dijangka mengumumkan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari dan Abdul Latif Abdul Rahman masing-masing kekal mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas dan Kuala Krai pada PRU15 nanti," katanya.

Untuk rekod, pada PRU15 lalu, Pas menang sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan, manakala lima lagi dikuasai UMNO.

Bagaimanapun, dua daripada ahli Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) bertindak melompat parti dan menyertai Bersatu.

Tiga Ahli Parlimen BN yang masih kekal dengan UMNO hingga hari ini ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Tan Sri Annuar Musa (Ketereh).

Berikutan itu, Sinar Premium difahamkan, Pas dijangka meletakkan calon di semua kerusi Parlimen di Kelantan, kecuali di Jeli dan Tanah Merah yang kini disandang oleh Bersatu yang menjadi sebahagian parti kompenan PN.

Bagaimanapun, sumber berkata keputusan muktamad mengenai siapakah pemimpin Pas mana dicalonkan semula atau tidak hanya akan diketahui apabila pengumuman rasmi dibuat PN, pada Ahad atau Isnin ini.

Klik di sini untuk terus membaca