SHAH ALAM - Tindakan meletakkan nama-nama besar di beberapa kerusi Parlimen merupakan langkah berani mati setiap parti dalam ‘membunuh’ karier politik lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah itu juga merupakan satu usaha untuk menamatkan karier pemimpin politik tertentu terutama pengkhianat parti.
"Pertembungan nama-nama besar termasuk Presiden parti di beberapa kerusi Parlimen menunjukkan setiap parti sanggup mempertaruhkan diri dan bertindak berani mati bagi memastikan karier politik pemimpin besar di peringkat nasional dari parti lawan dapat ditamatkan.
"Sebagai contoh Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan strategi atau perancangan dengan mengumumkan Presiden Partinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun sekali gus dijangka berdepan dengan penyandang yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Ia merupakan strategi atau perancangan yang bukan sahaja membuka kubu baharu kepada PKR atau Pakatan Harapan (PH) di kawasan baharu tetapi pada masa sama ia merupakan satu balas dendam kepada Bersatu yang menggunakan simbol PKR dalam PRU14 tetapi mengkhianati parti itu apabila keluar dari PH sekali gus menyebabkan kerajaan Persekutuan ditadbir PH tumbang,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada 20 Oktober lalu, Anwar diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Tambun.
Anwar dijangka berdepan dengan penyandang, Ahmad Faizal selepas Timbalan Presiden Bersatu itu hampir pasti mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU15.
Dengan pengumuman itu, Anwar bakal meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, pada 13 Oktober 2018.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebenarnya bukan mudah PKR untuk membuka peluang kepada parti politik lain untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada pilihan raya.
"Tindakan Bersatu keluar dari PH menyebabkan pemimpin PKR itu sendiri berasa kecewa dan rasa tidak puas hati padahal PRU14 lalu mereka menggunakan simbol PKR untuk bertanding.
"PRU15 merupakan satu platform kepada Anwar membunuh karier politik lawannya yang mengkhianati simbol perjuangan PKR,” ujarnya.
Sementara itu, Mohammad Tawfik melihat bahang PRU15 kali ini lebih panas apabila ia merupakan penentuan soal karier politik calon heavyweight terutama kepimpinan tertinggi parti masing-masing.
"PRU15 ini merupakan satu pilihan raya yang akan menamatkan karier politik pemimpin-pertama tertentu dan menjadi tumpuan adalah mereka yang pernah mengkhianati parti sebelum ini.
"Ia juga merupakan titik terakhir untuk pemimpin-pemimpin veteran sama ada mereka mampu atau tidak lagi terus survive selain teruskan karier politik mereka pada PRU akan datang,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca