PENGARAH Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mahu parti itu bebas daripada sebarang budaya 'warlord' menerusi sistem pencalonan terbuka yang diperkenalkan.
"Kita nak elak daripada budaya 'warlord' yang berlaku dalam PKR sebab PKR adalah parti yang lazimnya menongkah arus. Kita mula di jalan raya, maka semangat jalan yang tidak mementingkan jawatan tetapi peranan yang dimainkan.
"Hanya kerana seseorang itu memegang jawatan, tidak bererti secara automatik dia diberikan yang lebih, malah kita tahu yang memegang jawatan diberikan bebanan amanah, kalau gagal, kena ketepikan," katanya.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Diana Azis bersama Fahmi di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.
SINAR AHAD: Siapa sahaja ahli boleh menjadi calon melalui pencalonan terbuka. Adakah sistem ini membuahkan hasil dan apa penambahbaikan perlu dilakukan jika sistem ini mahu diteruskan untuk PRU seterusnya?
Fahmi: Saya lihat proses ini adil, terbuka dan memberi ruang untuk PKR memupuk dan merangkul semua kekuatan. Mungkin sebelum ini kita tidak perasan atau terlindung bayangan di peringkat cabang.
Ini satu perkara yang baik dan positif, tetapi semestinya proses saringan calon mengambil kira sama ada persembahan seseorang calon, penerimaan di peringkat akar umbi, maka diserasi dan disesuaikan dengan beberapa aspek praktikal.
Sesiapa boleh mencalonkan diri tetapi mesti mempunyai asas, sama ada pengalaman gerak kerja di peringkat lapangan, telah banyak berkhidmat membantu kawasan sama ada sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) atau perseorangan.
Kita nak elak daripada budaya warlord yang berlaku dalam PKR sebab PKR adalah parti yang lazimnya menongkah arus.
Kita mula di jalan raya, maka semangat jalan yang tidak mementingkan jawatan tetapi peranan yang dimainkan.
Hanya kerana seseorang itu memegang jawatan, tidak bererti secara automatik dia diberikan yang lebih, malah kita tahu yang memegang jawatan diberikan bebanan amanah, kalau gagal, kena ketepikan.
Itu bagi saya perkara yang amat positif dengan cara membuka ruang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi calon PKR.
Pada PRU15, sudah pasti PH mahu mengulangi kemenangan PRU14. Adakah dengan strategi yang telah dirancang, PH optimis boleh menang kali ini?
Bagi saya, ada beberapa faktor yang akan menjadi tanda tanya dan angkubah. Pada saat ini, kita belum tahu lagi kerana mereka yang berusia 18 tahun ke atas khususnya 18 hingga 29 tahun, ada yang tidak pernah langsung mengundi.
Ada yang telah menyaksikan PRU14 tetapi tidak sempat mengundi, ada juga yang pernah mengundi.
Jadi, ada tiga sub kategori dalam kumpulan anak muda.
Saya sangat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya malah dalam Parlimen, saya menegur Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati yang turut menjaga SPR dan Akademi SPR.
Sepatutnya, Akademi SPR digembeling lebih awal untuk mengadakan siri pendidikan, modul-modul dalam media sosial lebih awal. Itu sepatutnya berlaku enam bulan lalu, pada saat contohnya Undi18 dibolehkan dan pendaftaran secara automatik.
Sepatutnya SPR lebih proaktif memaklumkan kepada golongan pengundi bahawa mereka telah didaftarkan secara automatik.
Kedua isu cuaca, saya lihat pemilihan tarikh PRU pada 19 November sedikit membimbangkan, terutama sekiranya hujan lebat berterusan atau paras air sungai melimpah (lalu) mengakibatkan banjir dan sebagainya.
Di Lembah Pantai, kami ada dua lokasi mengundi di padang bola sepak iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dan Kampung Pasir.
Ketiga adalah faktor politik. Anything can happen. Fitnah, tomah, rekayasa, pembelotan, pengkhianatan, orang umum keluar masuk parti, calon menghilangkan diri atau tindakan penahanan, tangkapan dan sebagainya.
Jadi, saya harap PRU15 akan berjalan lancar, baik, tenteram, aman dan paling penting, kita nak pastikan pengundi tahu ke mana mereka perlu pergi, apa yang akan dilakukan sekiranya berlaku masalah di tempat mengundi dan sebagainya.
Salah satu kekuatan PH pada PRU14 adalah janji-janji manifesto. Untuk PRU15, apa elemen-elemen penting dalam manifesto PH? Apa beza dengan manifesto PRU14?
Secara konsisten, PH dan pimpinan sering mengangkat isu rakyat sama ada berkait pendidikan, perumahan, pekerjaan dan pengangkutan.
Secara amnya, akan menyentuh aspek ini tetapi secara khusus, tepat dan terperinci, kita akan lancarkan manifesto PH pada 2 November ini.
Pada asalnya nak lancarkan pada 27 Oktober tetapi buat keputusan ada beberapa perkara yang perlu diteliti, berikan sedikit masa supaya isu pencalonan dapat liputan secukupnya baru diikuti manifesto.
Rakyat pada saat ini sama ada akan baca dengan teliti atau tidak isu manifesto.
Maklumat itu sudah tepu, jadi mungkin sama ada mereka akan undi berdasarkan keseluruhan manifesto atau sebahagian atau satu perkara atau mereka mengundi atas wajah dan rupa.
Dalam masa yang berbaki sebelum hari mengundi, saya jangkakan PH akan sediakan manifesto dalam bentuk yang mudah difahami, diingati dan fokus bagi pimpinan terutama calon-calon adalah gerak kerja di lapangan.
BN dan PN guna naratif PH tipu rakyat kerana gagal tunaikan janji dalam manifesto. Adakah PH terkesan dengan modal kempen ini?
Bagi saya itu dakyah. Sebagai contoh, Pas meratib PH pro-komunis, walhal yang paling dekat dengan parti komunis Cina adalah UMNO. Kami tidak pernah ada hubungan seakrab UMNO dan parti komunis Cina.
Ada juga yang meratib PH gagal dengan manifesto, kami bukan gagal tetapi kami digagalkan oleh pengkhianat dan mereka ini akhirnya tidur sekatil, sebantal dengan Pas dan UMNO.
mereka bersekongkol dengan ‘gagalist’ atau para penggagal.
Kalau diberikan masa lima tahun, saya percaya apa yang kita katakan itu menjadi realiti dan ada yang menegur tentang beberapa perkara yang sebenarnya PH tidak perlu jawab sebab bukan PH yang tentukan.
Kita kena asingkan pentadbiran Tun Dr Mahathir daripada semangat PH itu sendiri.
Waktu Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, banyak perkara dasar yang langsung tidak dibincangkan di peringkat Majlis Setiausaha dan Majlis Presiden.
Saya lihat banyak keputusan yang dibuat adalah keputusan beliau sendiri (Dr Mahathir).
Saya bagi contoh, PKR tidak meletakkan nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai menteri, yang kita namakan adalah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Yang kita namakan ini kekal dalam prinsip, kekal dengan PKR. Ramai yang Dr Mahathir namakan itu semua pengkhianat.
Bagi saya, kita kena bezakan. Perkara ini perkara asas, kalau diberi masa yang secukupnya, saya percaya kita mampu dan pada waktu itu setelah lima tahun, barulah rakyat patut membuat keputusan, berjaya atau tidak.
Bagaimana pula dengan sokongan orang Melayu, kerana BN dan PN sering menggunakan naratif DAP menyokong fahaman komunis serta mengancam Islam?
Mereka kata DAP mengalu-alukan abu mayat Chin Peng, tetapi kalau kita tengok balik, Gerakan juga kata yang sama. Kenapa Pas tidak hentam Gerakan, padahal mereka bersama dalam PN.
Janganlah munafik, sebelum menuduh cuba siasat dahulu kamu bersekongkol dengan siapa sekarang?
Mereka menuduh DAP, saya bukanlah anggota DAP tetapi saya sebagai Pengarah Komunikasi PH, wajib saya jelaskan yang mereka tuduh itu, berbalik pada mereka.
Itu sebabnya jangan melontar fitnah kepada kami walhal kamu patut tengok dahulu pakatan sendiri. Bersatu dan BN bersekongkol kerana bentuk kerajaan, jadi dua kerajaan gagal 1.0 dan 2.0, gabungan ‘gagalvaganza’.
Dakyah DAP anti-Islam itu tidak betul, malah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dengan jelas berkata, DAP mempertahankan Perlembagaan dan semua perkara termasuk Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, DAP mempertahankan.
Jadi, itu adalah fitnah dan dakyah, satu tohmahan yang tidak berasas dan pada masa sama, bukan DAP yang curi duit rakyat, tidak rasuah, bukan DAP dan PKR yang mengajar, mendidik rakyat terima makan duit subahat duit rasuah.
PH menawarkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sedangkan ketika PH memerintah, jawatan tersebut untuk Sabah dan Sarawak tidak diwujudkan. Kenapa sekarang mahu berbuat demikian menjelang PRU15?
Sebenarnya PH sudah lama umum perkara ini. Malah pada September tahun lalu, Lim Guan Eng dalam satu wawancara ada menyatakan cadangan (TPM) adalah tiga, tetapi pandangan kita dua.
Ada beberapa sebab. Perkara asas yang kita dengar, tak guna ada jawatan tetapi tidak boleh sign. Isunya, bukan jawatan tetapi punca kuasa dan portfolio. Keadilan untuk rakyat Sabah dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri tidak bererti dia ada portfolio. Masa Wan Azizah jadi TPM dahulu, dia diberikan portfolio. Maka hanya memberikan jawatan TPM, hampir mirip menamakan seseorang itu sebagai menteri kanan.
Kalau menteri kanan sahaja tetapi tiada portfolio, tiada guna.
Jadi, kita kena tanya dengan BN, kita sudah nampak di bawah kerajaan gagal 1.0 dan 2.0, kerajaan ‘gagalvaganza’ ini, fokus mereka hanya memberi jawatan, habuan, hasil perang sampai berpuluh-puluh menteri, timbalan menteri, duta-duta khas yang langsung tak function, tidak buat kerja.
Apa gunanya? Adakah dengan ramai menteri dan timbalan menteri dapat menyelesaikan masalah? Tidak.
Jangan terpedaya dengan jawatan kalau yang memegang jawatan itu bukan ahlinya. Keadilan adalah meletakkan sesuatu di tempatnya dan mengangkat ahli, seorang arif, pakar, berwibawa, berintegriti, amanah mahu melaksanakan tanggungjawab. Tidak guna kalau letak tiga TPM tetapi semua perasuah. Tak function.
Sebab itu Anwar kata, langkah pertama adalah kurangkan atau tidak terima langsung gaji sebagai Perdana Menteri. Sekarang pun beliau tidak menerima gaji Ketua Pembangkang walaupun ditawarkan gaji serupa menteri, selain elaun sebagai ahli Parlimen.
Maksudnya, apa yang Anwar sebut ketika Konvensyen PH baru-baru ini konsisten dengan cara beliau.
Beliau juga sudah bagi amaran jika PH membentuk kerajaan, dalam keadaan ekonomi sekarang yang dijangka meleset, saiz jemaah menteri akan dikurangkan untuk jimatkan duit rakyat.
Ramai penganalisis politik berpandangan, tiada mana-mana parti akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Jika perlu membuat pilihan antara BN dan PN, yang mana PH akan pilih untuk bentuk kerajaan?
Itu satu keadaan yang sukar untuk saya jawab, namun lebih mudah saya jawab dengan satu mekanisme yang telah terbukti mewujudkan kestabilan.
Bila kita lihat gabungan PH mentadbir untuk tempoh 22 bulan, BN dan PN mentadbir secara keseluruhannya 31 bulan terutama dalam 13 bulan terakhir iaitu September 2021 hingga 10 Oktober lalu, sebenarnya hubungan yang paling stabil adalah antara kerajaan dan PH.
Hubungan paling tidak stabil dalam kerajaan hingga wujud situasi ugut mengugut, dua nakhoda satu bahtera dan perkara itu pada saya harus dijadikan pengajaran.
Bagaimana kestabilan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH waktu itu boleh diterjemahkan sebagai satu mekanisme, modus operandi untuk pembentukan kerajaan gabungan atau kerajaan perpaduan.
Protokol-protokol rahsia, perjanjian rahsia akhirnya menjadi bahan fitnah, ugutan antara kumpulan-kumpulan yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah dipersetujui seperti jawatan TPM tidak terisi, padahal semua perkara yang telah disepakati antara kerajaan dan PH telah dibawa ke Parlimen untuk ditandatangani serta diiktiraf.
Bagi saya, persoalan yang penting bukan sahaja pembentukan kerajaan pasca PRU15 tetapi mekanisme pembentukan kerajaan itu. Kalau kita ulangi kesilapan 31 bulan, maka itu akan mewujudkan suasana politik yang sangat tidak stabil dan kestabilan hanya dapat dicapai dengan mengusahakan satu MoU yang ditandatangani di Parlimen.
Proses itu sangat penting supaya tidak ada dakwa-dakwi, fitnah memfitnah, tohmahan, mengadu domba dan itu bagi saya merosakkan keadaan kerana kumpulan yang berkepentingan seakan-akan berlumba-lumba padahal rakyat penat, lesu serta lelah.
Maka, wajib kerajaan baharu nanti sekiranya perlu membentuk satu gabungan, ia mesti berpaksikan satu dokumen yang dibawa ke Parlimen dan terbuka, terpampang untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.
PH bakal bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (Muda). Apakah cabaran dalam kerjasama ini dan bagaimana pula sentimen akar umbi, adakah mereka sedia bantu berkempen? Adakah akan ada pertembungan kerusi?
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya ada mengatakan 70 peratus kerusi yang ingin ditandingi oleh Muda sudah selesai dibincangkan, jadi tinggal lebih kurang 30 peratus atau lima kerusi lagi, dalam masa terdekat akan selesai.
Kita memang perlukan masa sebanyak mungkin untuk memperkenalkan calon di kawasan. Usaha kita adalah untuk memastikan ketumbukan dan kekuatan PH dalam memberikan saingan hebat untuk memenangi kerusi sebanyak mungkin agar kami dapat bentuk kerajaan.
Kebiasaannya di mana-mana pun, aspek seperti lokal, tempat, kadang-kadang dia anggota parti tetapi dia tidak setuju (dengan calon) sebab pernah berlaku perkara yang tidak disukai. Maka kali ini dia mungkin membantu tetapi tidak bantu macam dahulu.
Saya lihat tugas dan tanggungjawab calon bukan sekadar untuk menyantuni pengundi tetapi mencari keserasian dengan jentera supaya ketumbukan dan kekuatan jentera itu tidak dibazirkan.
Masalah yang dihadapi oleh mana-mana parti waima BN dan PN sekalipun, malah kadang-kadang kita dengar mereka boikot, tolak, sabotaj dan ada faktor-faktor tersendiri di sesuatu kawasan.
Bagi saya dan PH, isu disiplin parti sangat penting dan kita utamakan kemenangan PH, bukan individu.
Untuk Parlimen Lembah Pantai, apa yang YB mahu tawarkan kepada pengundi di kawasan ini?
Saya lahir dan dibesarkan dalam keluarga penjawat awam, jadi saya faham erti khidmat bakti.
Sepanjang saya berkhidmat di Lembah Pantai, saya bukan sahaja mengenali warga di sini tetapi melihat kepada masalah-masalah yang dihadapi dengan lebih dekat, sebab dalam 22 bulan yang singkat itu kita berpeluang melihat data untuk memahami mekanisme, meneliti dasar.
Ada yang tidak membantu, tidak efisien, ada yang boleh dirangka semula bagi memberi manfaat yang lebih banyak kepada rakyat.
Isu kemiskinan bandar antara isu yang paling dekat dengan saya. Isu perumahan, pengangkutan awam, pekerjaan, pendapatan, sepanjang saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen, mewujudkan satu pusat kerja Lembah Pantai untuk bantu warga di sini mendapat kerja.
Malangnya, setelah berlaku Langkah Sheraton, pandemik Covid-19, maka kerja itu tergendala. Saya ingin teruskan kerja seperti itu, saya ingin wartakan nama Kampung Kerinchi.
Sebelum ini kita berjaya selamatkan Kampung Kerinchi, tetapi saya ingin wartakan supaya ia kekal sebagai Kampung Kerinchi sampai bila-bila.
Ramai yang mahu identiti itu dikekalkan. Alhamdulillah, hasil perjuangan itu pemaju Bangsar South menerima bahawa itu adalah kawasan Kerinchi.
Di situ kita ada syarikat besar dan saya ingin wujudkan peluang pekerjaan dan latihan praktikal kepada anak Kerinchi, memahami syarikat-syarikat hi-tech supaya mereka dapat inspirasi untuk mengusahakan dan berjaya dalam bidang programing, perniagaan. Itu akan jadi satu pemangkin.
Saya ingin meneliti semula proses graf rancangan Kuala Lumpur 2040, supaya masalah status tanah lebih 70 bidang tanah yang menjadi masalah pada 2018 dapat diselesaikan secara baik.
Kolam-kolam takungan yang telah dijual dapat dibeli semula, diselamatkan dan ditambah baik.
Saya ingin lihat isu-isu banjir kilat dapat dikurangkan, tidak semestinya dengan membina terowong besar tetapi memanfaatkan dengan memberi bajet yang lebih tinggi, contohnya kepada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk pastikan tak berlaku banjir, tak berlaku tanah runtuh.
Klik di sini untuk terus membaca