PILIHAN Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) atau Midterm Elections diadakan pada pertengahan tempoh pentadbiran seseorang Presiden AS. Ia diadakan setiap dua tahun selepas Presiden AS memenangi Pilihan Raya Presiden. Itu bererti,... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) atau Midterm Elections diadakan pada pertengahan tempoh pentadbiran seseorang Presiden AS. Ia diadakan setiap dua tahun selepas Presiden AS memenangi Pilihan Raya Presiden.

Itu bererti, 2022 akan menyaksikan Pilihan Raya Pertengahan Penggal bagi AS kerana Pilihan Raya Presiden yang terakhir berlaku pada 2020.

Namun, kekerapan pilihan raya itu diadakan adalah sekali setiap empat tahun yang akan menjadi penggal pertengahan pentadbiran Presiden AS.

Ia diadakan pada titik tengah penggal empat tahun jawatan Presiden, pada hari Selasa selepas Isnin pertama bulan November.

Penduduk AS akan memilih jawatan-jawatan Persekutuan termasuk kerusi di Kongres dan Senat AS. Mereka juga akan memilih jawatan gabenor bagi sesetengah negeri, dewan perundangan negeri dan majlis pembandaran.

Presiden Joe Biden tidak terlibat secara langsung dalam pilihan raya berkenaan, sebaliknya jawatan di Kongres dan Senat serta dewan perundangan negeri dan gabenor negeri dipertandingkan.

Tetapi hasilnya akan mempengaruhi medan pertarungan untuk kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024 terutama kemungkinan Donald Trump bertanding semula.

Kini, parti Demokrat hanya menguasai Kongres dengan tipis dan besar kemungkinan parti Republikan akan bangkit semula. Terdapat empat isu utama yang diutarakan.

Pertama, fokus penyiasatan yang sedang dilakukan ahli Kongres daripada parti Demokrat.

Dalam tempoh dua tahun lalu, fokus penyiasatan tertumpu kepada serangan ke atas Bangunan Capitol pada Januari 2021 oleh penyokong Trump dan laporan insiden itu dijangka diterbitkan.

Bagaimanapun, jika parti Republikan akan menguasai Kongres, ada kemungkinan isu seperti penglibatan dan perniagaan Hunter Biden di China dibangkitkan kerana AS dan China sedang menghadapi hubungan tegang.

Isu yang berkait rapat dengan pentadbiran Biden juga akan dipersoalkan termasuk polisi imigresen dan proses pengunduran AS dari Afghanistan.

Kedua, masa depan politik Biden. Pilihan Raya Pertengahan Penggal biasanya dianggap sebagai referendum dua tahun pertama penggal Presiden.

Dalam dua tahun pertamanya dengan majoriti tipis di Kongres, pentadbiran Biden telah berjaya menggubal undang-undang baharu mengenai perubahan iklim, kawalan senjata api, pelaburan infrastruktur dan kemiskinan kanak-kanak.

Jika parti Republikan berjaya menawan Kongres, mereka kemungkinan akan menghalang rang undang-undang diperkenalkan parti Demokrat.

Selain itu, kebangkitan Republikan di Kongres dan Senat AS secara dominan akan mencacatkan rancangan Biden untuk menjadi calon Demokrat pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Ketiga, penanda sama ada Trump akan kembali. Walaupun beliau telah ditewaskan ketika Pilihan Raya Presiden 2020 tetapi tidak bererti kerjaya politiknya telah tamat.

Trump dan pengikutnya masih mempunyai cita-cita untuk merebut semula jawatan Presiden AS.

Sekiranya calon-calon Republikan yang kelihatan rapat dengan Trump seperti JD Vance dan Herschel Walker menang, ia memberi lebih harapan kepada Trump.

Namun, keputusan Pilihan Raya Pertengahan Penggal juga boleh menyaksikan kebangkitan calon-calon Republikan yang lebih muda seperti Ron DeSantis dari Florida dan Greg Abbot dari Texas yang akan menjadi calon pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Keempat, penggubalan dan pelaksanaan polisi termasuk isu hak pengguguran.

Demokrat berjanji menegakkan hak wanita untuk melakukan pengguguran, manakala Republikan telah mencadangkan pengharaman pengguguran selepas 15 minggu kehamilan.

Mana-mana parti yang bakal menguasai Kongres dan dewan perundangan negeri akan memberi kesan kepada polisi, selain daripada pengguguran.

Jika Republikan menang, isu imigresen, hak keagamaan dan menangani jenayah kekerasan menjadi keutamaan.

Bagi Demokrat, alam sekitar, penjagaan kesihatan, hak mengundi dan kawalan senjata akan terus kekal dalam agenda.

Apa pun, keputusan sama ada Biden akan ‘sambung’ bagi penggal kedua bakal ditentukan pada keputusan Pilihan Raya Pertengahan Penggal nanti.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca