WASHINGTON - Pada 6 dan 9 Ogos 1945, dua bom atom digugurkan daripada pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) di bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Dalam tragedi itu, lebih 120,000 orang terbunuh dan tujuan... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - Pada 6 dan 9 Ogos 1945, dua bom atom digugurkan daripada pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) di bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Dalam tragedi itu, lebih 120,000 orang terbunuh dan tujuan dua bom tersebut digugurkan ketika AS diperintah oleh Presiden Harry Truman memaksa Jepun untuk menyerah kalah dan matlamat tersebut akhirnya dicapai.

AS adalah satu-satunya negara di dunia yang mempunyai senjata nuklear selepas Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Kesatuan Soviet telah memperoleh maklumat melalui rangkaian pengintip yang terlibat dalam pengintipan antarabangsa bagi bom ‘gaya pem-belahan’ dan menemui sumber uranium serantau di Eropah Timur.

Justeru, pada 29 Ogos 1949, Kesatuan Soviet menguji bom nuklear pertama mereka.

Sebenarnya, perang nuklear hampir berlaku lebih 60 tahun lalu berikutan ketegangan politik antara AS dengan Kesatuan Soviet pada 1962.

Pada 27 Oktober 1962, ketika pemimpin Kesatuan Soviet, Nikita Khrushchev dan Presiden AS, John F Kennedy bertukar-tukar mesej, sebuah pesawat pengintip U-2 milik negara Uncle Sam itu ditembak jatuh di Cuba, menyebabkan seorang juruterbang Amerika, Rudolf Anderson Jr terbunuh.

Kennedy tidak mengendahkan seruan untuk membalas dendam dengan sangkaan bahawa arahan untuk menembak pesawat AS itu bukan datang dari Kesatuan Soviet tetapi Cuba.

Pada 27 Oktober 1962 juga, ketika krisis itu menghampiri penyelesaian, salah sebuah daripada empat kapal selam Kesatuan Soviet dilengkapi torpedo nuklear mendapati ia menjadi sasaran oleh Tentera Laut AS selepas terperangkap di Laut Sargasso yang terletak antara AS dan Cuba.

Apabila tentera AS memaksa kapal selam Kesatuan Soviet itu ke permukaan, kru-krunya telah mendapat kebenaran Moscow untuk menggunakan torpedo nuklear kapal daripada kapal selam tersebut sekiranya berlaku serangan.

Bagaimanapun, komander kapal selam memutuskan untuk melancarkan torpedo nuklear tersebut tetapi sebelum itu beliau memerlukan persetujuan dua pegawai lain termasuk komandan kedua, Vasily Arkhipov.

Bagaimanapun, Arkhipov menentang pelancaran torpedo nuklear itu ke arah tentera AS dengan menganggap negara tersebut tidak tahu kapal selam berkenaan membawa senjata nuklear.

Keputusan itu menyebabkan beliau dikenali sebagai manusia yang telah menyelamatkan bumi daripada berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Seorang lagi pegawai tentera udara Kesatuan Soviet, Kolonel Stanislav Petrov juga berjaya membantu mencegah potensi kebakaran nuklear daripada berlaku 20 tahun kemudian.

Pada 26 September 1983, ketika beliau sedang bertugas di sebuah pangkalan rahsia berhampiran Moscow, mendapati penggera sistem amaran awal serangan peluru berpandu AS.

Beliau mempunyai beberapa minit untuk bertindak balas kepada amaran itu yang memberitahu bahawa lima peluru berpandu balistik antara benua AS sedang menuju ke arah Kesatuan Soviet.

Korea Utara mengancam untuk melancarkan peluru berpandu ke arah Korea Selatan selepas AS mengadakan latihan ketenteraan bersama baru-baru ini. - AFP

Namun, naluri Petrov memberitahunya bahawa serangan AS akan melibatkan kira-kira 100 peluru berpandu dan beliau menyimpulkan bahawa ia adalah penggera palsu.

Pakar-pakar Kesatuan Soviet yang kemudian dibubarkan pada 1991 dan kini dikenali sebagai Rusia kemudian membuat kesimpulan bahawa sistem amaran itu menyangka pantulan matahari dari awan sebagai peluru berpandu.

Seorang pembelot agensi perisikan KGB, Kolonel Oleg Gordievsky mendedahkan bahawa pemimpin Soviet telah hampir menekan butang senjata nuklear pada awal November 1983 selepas mempercayai Barat bersedia melancarkan serangan nuklear mengejut ke atas Kesatuan Soviet.

Pada 25 Januari 1995, beg bimbit nuklear diserahkan kepada Presiden Rusia, Boris Yeltsin apabila Moscow tersilap sangka bahawa pelancaran roket meteorologi Norway dari Bulatan Artik dianggap sebagai serangan AS.

Yeltsin kemudian menyimpulkan bahawa ia sebenarnya bukan peluru berpandu AS dan Rusia tidak bertindak balas.

Pada tahun 2001 dan 2002, India serta Pakistan berbalah mengenai wilayah Kashmir sehingga Presiden Pakistan ketika itu, Pervez Musharraf mengisytiharkan beliau akan menggunakan senjata nuklear jika diancam dengan kemusnahan oleh serangan dari India.

Namun, Menteri Pertahanan India ketika itu, George Fernandes berkata: "India boleh bertahan daripada serangan nuklear tetapi Pakistan tidak boleh.”

Ketika dunia memasuki penghujung tahun 2022 pula, Presiden AS, Joe Biden pada awal Oktober ini memberi amaran bahawa dunia berisiko mengalami kemusnahan nuklear buat kali pertama sejak 1962.

Beliau mendakwa bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak bergurau mengenai penggunaan senjata pemusnah itu semasa pencerobohan Ukraine sejak 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Putin tetapi momentum penggunaan senjata nuklear dalam perang itu semakin hangat diperdebatkan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca