HARI ini masyarakat kembali berhujah berkaitan isu pluralisme agama - semua agama adalah sama dan masing masing memilih jalannya sendiri.
Dalam konteks perundangan Malaysia pula, ramai kalangan orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan berbanding agama lain dari sudut undang-undangnya.
Golongan berkenaan berhujah adalah tidak adil sekiranya orang bukan Islam membuat kebaikan di dunia tetapi masih diazab dengan api neraka. Tambahan pula, dakwa mereka, ia amat bertentangan dengan sifat ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Konsep tauhid dalam Islam adalah paksi utama kepada akidah Islam itu sendiri dan ia berlawanan daripada konsep pluralisme agama.
Pendukung pluralisme agama berpendapat, setiap nabi membawa risalah berbeza dan umat terdahulu tidak beragama Islam. Namun, sebenarnya umat terdahulu membawa syariat ALLAH untuk umat ketika itu.
Dr Khaliff Muammar dalam bukunya berjudul Islam dan Pluralisme Agama, memetik Jamal al-Banna, saudara kandung kepada Hasan al Banna menegaskan, orang bukan Islam seperti Thomas Edison sewajarnya akan memasuki syurga kerana sumbangannya yang besar kepada umat manusia dengan mencipta lampu elektrik.
Beliau beranggapan apa pun agama dianuti seseorang itu tidak penting, kerana paling penting adalah dia berbuat baik.
Oleh sebab itu, sesiapa sahaja boleh masuk syurga asalkan dia orang baik.
Beliau juga membuat kesimpulan bahawa orang Islam tidak perlu berusaha mendakwahkan orang bukan Islam masuk Islam.
Bagi penulis, walaupun seseorang itu memasuki syurga dengan rahmat ALLAH, namun untuk mengetepikan faktor Islam sebagai prasyarat memasuki syurga amat keterlaluan.
Apalah gunanya ALLAH menurunkan al-Quran jika orang bukan Islam yang tidak mempercayai al-Quran diberi keistimewaan?
Dari sudut perundangan, Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf kesetaraan antara agama. Ia amat jelas kerana hanya Islam disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jaminan anutan dan amalan agama lain, selain Islam dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah bermakna agama lain disamatarafkan dalam undang-undang.
Walaupun tidak setara, orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam menganut Islam atau menghalang amalan agama bukan Islam oleh penganutnya.
Terdapat pelbagai faktor diambil kira dalam memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti faktor sejarah, sosial dan keselamatan.
Oleh demikian, Islam tidak sekadar diisytiharkan sebagai agama rasmi negara tetapi dalam konteks lebih jitu iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’. Malah, Islam itu sendiri menjamin kebebasan beragama.
Banyak kelebihan diberikan kepada agama Islam berbanding agama lain termasuklah dana awam boleh digunakan bagi pembangunan agama Islam.
Namun, dengan kedudukan istimewa Islam itu bukanlah bererti menyekat kebebasan orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka.
Selain tidak selaras dengan ajaran Islam, pluralisme agama ini juga sebenarnya tidak diiktiraf undang-undang.
Orang yang mencanangkan pluralisme agama sebenarnya hanya ingin mengambil kesempatan daripada kekalutan masyarakat ketika ini dengan memperkenalkan ‘konsep baharu’.
Bagi penulis, al-Quran telah disempurnakan penurunannya dan ALLAH telah mengisytiharkan dalam al-Quran bahawa agama Islam itu telah disempurnakan.
Sekiranya sesuatu itu telah sempurna, adakah kita perlu lagi merujuk kepada sesuatu yang tidak sempurna iaitu agama-agama lain?
Sebagai orang Islam, kita mestilah meyakini Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Memang benar terdapat ajaran agama lain yang baik dan terdapat ramai orang bukan Islam yang membuat kebaikan.
Namun, kebaikan itu tidak diberi imbuhan pahala dan syurga kerana perkara paling utama iaitu akidah mereka belum diperbetulkan lagi.
Ia umpama seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu tetapi memandu kereta dan membawa fakir miskin ke tempat yang diingini mereka tanpa bayaran.
Walaupun usaha itu baik kerana memberi kemudahan kepada golongan fakir miskin tetapi pemandu tersebut akan tetap dihukum kerana kesalahan memandu tanpa mempunyai lesen sah.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca