DARIPADA laporan media arus perdana dan perbualan media sosial, nampaknya ramai juga orang Malaysia teruja dengan pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK). Memanglah luar biasa dan baharu bagi sebuah negara Eropah... Klik di sini untuk terus membaca

DARIPADA laporan media arus perdana dan perbualan media sosial, nampaknya ramai juga orang Malaysia teruja dengan pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK).

Memanglah luar biasa dan baharu bagi sebuah negara Eropah memperoleh seorang ketua kerajaan bukan berkulit putih serta tidak daripada kepercayaan Kristian.

Perdana Menteri UK yang baharu itu berketurunan India tetapi dilahir dan dibesarkan di negara tersebut. Dia beragama Hindu dan mengangkat sumpah atau nama kitab Hindu, Bhagavad Gita.

Daripada catatan sejarah, kita dimaklumkan keturunan Sunak sudah mengekori jejak langkah Inggeris selama hampir 90 tahun apabila neneknya merantau dari wilayah Punjab, India ke Afrika Timur di mana bapanya dilahirkan.

Waktu itu India dan Afrika Timur seperti juga negara kita, dijajah oleh Inggeris.

Selepas British memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahannya di Afrika Timur pada 1960-an, timbul sikap anti pendatang Asia dan ia menyebabkan ramai orang keturunan India termasuk bapa Sunak berpindah ke England.

Keluarga Sunak tidak gagal di Afrika dan lebih berjaya di England. Bapanya, Yashvir Sunak seorang doktor perubatan dan ibunya, Usha merupakan ahli farmasi serta pengurus perniagaan.

Sering saya sebut, orang atau bangsa yang berani merantau selalunya lebih berjaya daripada kekal di negara sendiri. Apatah lagi, kalau negara kelahiran mereka mundur atau miskin.

Fenomena itu sudah mula menular di negara kita sendiri apabila bertambah ramai orang merantau mencari kehidupan lebih baik di negara asing akibat peluang pekerjaan dan ekonomi semakin pudar dalam negara.

Berbalik kepada pelantikan Sunak, elok jugalah negara itu mencuba nasib dengan meletakkan harapan kepada seorang bukan kulit putih setelah begitu ramai Perdana Menteri berbangsa Eropah gagal dengan teruk sekali.

Jika kita ambil mendiang Margaret Thatcher sebagai contoh Perdana Menteri era moden paling berjaya, maka kita boleh simpulkan UK sudah tidak mempunyai Perdana Menteri berkaliber tinggi selama lebih 30 tahun.

Thatcher meletakkan jawatan pada 1990.

Dengan Sunak, UK sudah mempunyai lapan orang Perdana Menteri dalam masa 32 tahun iaitu purata empat tahun seorang. Thatcher menjadi Perdana Menteri selama 11 tahun.

Lebih penting bagi UK dan mana-mana negara, bukan agama, warna kulit atau asal usul seorang ketua kerajaan tetapi kemampuan serta integriti individu berkenaan.

Di permukaan, Sunak nampak berkeupayaan menjadi Perdana Menteri yang baik.

Dia bukan sahaja mempunyai latar belakang keluarga dan pendidikan yang cemerlang tetapi berjaya dari segi pendidikan, kerjaya korporat dan politik. Dan, jangan lupa dia juga sangat kaya.

Tetapi tidak seperti di Malaysia dan kebanyakan negara membangun, kaedah kuku besi, feudalisme serta kasta masih berleluasa.

Di UK, kesesuaian dan daya tahan seorang ketua kerajaan akan diuji serta diputuskan dalam masa singkat. Tidak perlu tunggu 100 hari.

Pusat-pusat kuasa (power centres) seperti Parlimen, pasaran saham, pasaran mata wang dan media massa sangat berpengaruh bagi menentukan kelangsungan seorang ketua kerajaan dan pentadbirannya.

Mereka inilah yang akan memberikan undi percaya atau tidak percaya kepada seorang Perdana Menteri.

Kalau selepas pelantikannya, Pasaran Saham London (LSE) jatuh, kadar tukaran mata wang pound sterling merosot dan media massa arus perdana bersikap negatif, Sunak pun mungkin hanyut juga.

Kesimpulannya, pelantikan Sunak sebagai Perdana Menteri bukan sahaja bersejarah bagi UK tetapi boleh menjadi pengajaran dan perbandingan bagi negara-negara lain di dunia.

Kita di Malaysia pun boleh ambil pengajaran daripada pelantikan Sunak. Pertama, jangan jadi manusia mabuk kuasa dan gila jawatan. Kedua, Perdana Menteri mestilah berkaliber.

Kita akan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Eloklah kita mula berfikir semasak-masaknya bagi memilih sepasukan pemimpin yang bersih, berpengetahuan dan ada status antarabangsa untuk menyelamatkan kita.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca