SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha menyatakan tindakan menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi dan Datuk Zuraida Kamaruddin adalah tidak sah. Menurutnya, ini kerana kesemua individu tersebut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha menyatakan tindakan menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi dan Datuk Zuraida Kamaruddin adalah tidak sah.

Menurutnya, ini kerana kesemua individu tersebut memegang jawatan selepas dipilih oleh ahli parti dan bukannya secara lantikan.

Tegasnya, sehingga kini mereka kekal ahli PBM dan sebarang penggantungan perlu mengikut prosedur ditetapkan.

"Kalau lantikan daripada presiden bolehlah dipecat tetapi kami ini dipilih oleh ahli parti.

"Mana boleh ahli yang dipilih dibuang macam itu sahaja, penggantungan ahli itu juga tidak sah,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, kemelut yang melanda PBM semakin parah apabila 12 Ahli Majlis Tertinggi dan Datuk Zuraida Kamaruddin digantung keahlian dan jawatan.

Menurut Datuk Larry Sng Wei Shien yang mendakwa masih presiden parti itu, tindakan tersebut dilakukan kerana penglibatan individu berkenaan yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinan.

Selain Haniza dan Zuraida, individu lain ialah Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Tindakan tersebut dibuat sehari selepas Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid digantung jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Haniza, sebarang keputusan mesti ditentukan dalam mesyuarat dengan menggunakan saluran yang betul.

"Apa-apa keputusan mesti dibuat dalam mesyuarat dan tidak boleh salah guna kuasa dengan hanya memaklumkan penggantungan ahli menerusi satu hantaran di Facebook.

"Dia (Larry) tidak melihat perlembagaan. Ini kerana apa-apa keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Persidangan Agung Tahunan parti.

"Bukan dengan tindakan seperti ini yang mana keputusan dibuat secara berseorangan untuk pecat serta gantung keahlian seseorang. Dia tidak boleh salah guna kuasa dan semua perkara kena ikut prosedur dan perlembagaan ditetapkan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca