DEMAM Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini Belalang dapati memang lain macam.
Dulu-dulu Belalang masih ingat, soal calon ini menjadi rahsia besar pada mana-mana parti pun.
Malah, ada yang masih tidak tahu dia akan menjadi calon sehinggalah beberapa jam sebelum waktu penamaan.
Ada dalam beberapa kes tertentu, calon yang sudah pun mendapat watikah diberitahu dua jam sebelum penamaan calon bahawa tempat dia telah diganti dengan orang lain.
Insiden ini pernah berlaku kepada rakan sekolah Belalang sendiri dalam PRU12. Dia telah menempah bush jaket, baju Melayu empat pasang dan kot gelap.
Dan dia terduduk longlai apabila dimaklumkan mengenai keputusan untuk menarik watikah yang diterimanya pada malam sebelum itu.
Sehingga ke saat ini jika ditanya kembali apa yang sebenarnya berlaku, si polan itu masih tidak dapat memberi jawapan yang pasti mengapa namanya digugurkan pada saat-saat akhir. Hanya sekadar spekulasi yang bermain di telinga.
Dalam satu insiden lain, Belalang sendiri menyaksikan bagaimana seorang ahli politik ini, duduk bersimpuh di hadapan Timbalan Perdana Menteri (TPM) merayu sambil menangis teresak-esak agar dia diberi tempat sebagai calon PRU.
Insiden ini berlaku di bilik dalam rumah bahagian. Ia adalah bilik setiausaha kerja bahagian yang terpaksa dipinjamkan untuk TPM mendengar apa yang hendak dikatakan oleh ahli politik ini.
Ketika mereka sedang membuat perhitungan tentang hidup dan mati karier politik tokoh berkenaan, berpuluh sedang memasang telinga di luar bilik untuk mengetahui apakah kesudahan drama tersebut.
Ahli politik ini yang berasal dari sebuah bahagian di Utara semenanjung telah mengekori rombongan TPM ke serata pelosok kampung dan daerah yang kebetulan sedang dalam lawatan rasmi selepas Dewan Rakyat dibubarkan.
Setelah lebih setengah jam berlalu, mereka yang sedang memasang telinga di luar bilik berkenaan tiba-tiba dapat mendengar suara seseorang menangis teresak-esak di dalam.
Sudah tentulah yang menangis itu bukan TPM. Tidak lama kemudian mereka keluar dengan ahli politik yang merayu itu sedang mengesat matanya dengan sapu tangan.
Yang kedengaran kemudian ialah kata-kata TPM; "Mat...Kalau hang tak menang jugak, lepas ni hang jangan mai menangis air mata darah kat depan aku pulak...” Ahli politik itu yang kelihatan tersenyum simpul segera bergegas datang mencium tangan TPM. Begitulah situasinya ketika itu orang berebut nak jadi calon.
Namun keadaan ini telah berubah. Hari ini, parti-parti berebut mengumumkan senarai calon terlebih dahulu − jauh sebelum hari penamaan calon − yang menandakan secara rasminya kempen telah bermula.
Malah, tidak ada lagi elemen-elemen kejutan atau lobi melobi untuk menjadi calon. Tiada lagi penantian sehingga 24 jam sebelum penamaan calon untuk mengumumkan senarai.
PKR misalnya telah selesai menyenaraikan calon-calonnya, DAP sedang melakukannya secara berperingkat dan Barisan Nasional (BN) pada minggu depan. Parti-parti lain pun sama.
Namun di sebalik itu semua, masih terdapat parti, khususnya parti baharu yang berhadapan dengan kesukaran untuk mencari calon. Calon tidak dapat ditemui. Pendek kata, jenuh mencari.
Dalam satu tempat ini, Belalang diberitahu sebuah parti terpaksa bawa calon import dari Kelantan untuk bertanding di situ.
Bukan dia saja malah bakal pesaingnya juga adalah calon import kerana parti diwakilinya juga tidak dapat mencari calon tempatan yang sesuai atau sanggup jadi pak sanggup.
Satu masalah besar dengan calon import ialah oleh kerana dia bukan orang tempatan, dia terpaksa bergantung harap kepada jentera yang tidak dikenali untuk pacak tiang, bendera dan poster.
Dan paling dia takuti ialah kesetiaan orang tempatan yang sepatutnya menjadi orang kanannya itu. Mereka boleh makan keliling.
Lainlah calon itu adalah calon nasional dikenali ramai dan punya jentera yang bersiap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa sebaik sahaja dimaklumkan tempat akan dia bertanding.
Belalang - Mengundi di Kota Raja.
Klik di sini untuk terus membaca