PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditetapkan, dengan proses penamaan calon pada 5 November dan hari pengundian pada 19 November ini yang melibatkan seramai 21,173,638 pemilih. Pada waktu ini sehingga sebelum Sabtu nanti, parti-parti... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditetapkan, dengan proses penamaan calon pada 5 November dan hari pengundian pada 19 November ini yang melibatkan seramai 21,173,638 pemilih.

Pada waktu ini sehingga sebelum Sabtu nanti, parti-parti politik akan menyaring, memilih dan mengumumkan nama calon-calon mereka di setiap kawasan.

Tempoh itu sangat mendebarkan bagi sebahagian besar ahli politik.

Ia antara titik penting dalam kerjaya politik mereka.

Saya melihat terdapat empat kelompok bakal calon dalam politik negara. Kelompok pertama calon gred A.

Mereka terdiri daripada penyandang jawatan atau bakal calon yang berjawatan utama parti di pusat atau kawasan, mempunyai personaliti yang baik dan diterima rakyat.

Kumpulan gred A selalunya tiada masalah untuk dicalonkan semula atau menjadi calon kecuali presiden atau ketua parti menggunakan kuasa veto menyingkirkan mereka.

Ini kerana kuasa akhir pencalonan mewakili parti akan terletak di tangan ketua parti.

Calon gred A boleh menyebabkan parti hilang kerusi sekiranya tidak mencalonkan mereka.

Adakala mereka yang tidak dicalonkan oleh parti akan bertindak bertanding sebagai calon Bebas dan berjaya memenangi pilihan raya atau sekurang-kurangnya menyebabkan calon lain daripada parti mereka kalah.

Kelompok kedua ialah mereka yang mempunyai cita-cita politik tinggi tetapi tidak mempunyai personaliti kuat kepada rakyat. Dalam kelompok ini ada dua sub kelompok dikenal pasti.

Pertama, mereka yang tiada jawatan utama dalam parti di peringkat kawasan berkenaan. Kumpulan tersebut sanggup melobi, merayu dan memegang lutut para pemimpin parti untuk dinamakan sebagai calon.

Mereka juga akan melobi dengan sokongan kewangan kepada parti dan menggunakan hubungan baik dengan pemimpin utama parti.

Sub kelompok kedua yang lebih kuat ialah mereka yang berjawatan dalam parti tetapi tidak dilihat sebagai material calon Parlimen.

Kumpulan itu akan menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka dalam parti di kawasan Parlimen tersebut untuk menolak calon pilihan parti.

Mereka akan memberi ingatan dan ugutan tersirat untuk menolak calon luar, memburukkan calon lain dan menutup bilik gerakan kempen parti.

Sub kelompok berjawatan dalam parti sangat berpengaruh dan kadangkala parti tiada pilihan kecuali menamakan mereka, walaupun tahu pengundi di luar parti tidak menyukainya.

Ini kerana mereka juga boleh ‘menentukan’ nasib para pemimpin parti dalam pemilihan parti akan datang.

Kelompok ketiga bakal calon pula ialah mereka yang mempunyai aura dan personaliti disukai rakyat serta boleh memenangi pilihan raya, namun berdepan tentangan daripada ketua parti di kawasan tersebut seperti Ketua UMNO bahagian atau Ketua Cabang PKR.

Mereka ada yang berjawatan dalam parti sama ada di peringkat pusat atau kawasan, wakil rakyat sedia ada atau merupakan aktivis parti popular tetapi tidak memegang jawatan dalam parti. Kumpulan tersebut berdepan tentangan pemimpin utama kawasan mereka yang juga mahu menjadi calon.

Namun, terdapat bakal calon dalam kumpulan keempat yang jarang berlaku kepada parti besar tetapi sudah menampakkan trend keberadaannya – calon personaliti tinggi sama ada di peringkat nasional atau kawasan Parlimen tersebut.

Calon daripada kumpulan berkenaan tidak terkenal bagi mewakili parti politik. Mereka boleh jadi ahli parti yang tidak diketahui umum atau kadang-kadang dibawa masuk sebagai calon bagi meningkatkan kemampuan parti untuk menang.

Parti politik selalunya menggunakan kaedah tersebut dalam menangani kesukaran mereka memenangi atau mempertahankannya.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan 2019, DAP meletakkan Vivian Wong Shir Yee bagi menggantikan ayahnya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Tatt.

Barisan Nasional (BN) turut menggunakan kaedah itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar (2017) dan Cameron Highlands (2019).

Di Kuala Kangsar, BN mencalonkan Datuk Mastura Yazid, isteri kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut yang meninggal dunia.

Di Cameron Highlands, BN mencalonkan Ramli Md Noor, calon daripada masyarakat Orang Asli yang tidak menjadi ahli mana-mana parti komponennya sebelum pencalonan.

Kepada mereka yang dicalonkan, debaran seterusnya adalah sama ada mereka berjaya memenangi kerusi ditandingi.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca