SHAH ALAM - Rakyat akan melihat kepada keupayaan dan pihak mana yang mampu menyelesaikan masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan dan ekonomi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pemerhati politik, Tai Zee How berkata, perkara itu adalah tuntutan rakyat kepada setiap parti dalam PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November depan.
Selain itu katanya, kestabilan politik juga merupakan asas kepada segala tuntutan rakyat kerana tiada ekonomi yang mampu berkembang sekiranya keadaan sesebuah negara dalam keadaan huru-hara.
"Penilaiannya ialah keupayaan untuk menjamin kestabilan agar ekonomi terbela. Rakyat akan lihat dari segi rekod, pengalaman mereka dan parti mana yang boleh menyampaikan apa yang dijanjikan," katanya dalam Program Sinar Live bertajuk 'Selesaikan Tuntutan Rakyat' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Ahad.
Turut serta sebagai panel ialah pengamal dan advokator pendidikan, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli manakala Hazwan Mokhtar dan Fahiz Ariff bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Zee How yang lebih dikenali sebagai Apek Cina pula berpandangan pengundi Cina amat mengutamakan kepada aspek ekonomi dan pendidikan dalam tuntutan mereka.
Jelasnya, sekolah yang menjadi tumpuan kaum cina ini adalah pertamanya sekolah antarabangsa, sekolah premier dan kemudian Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.
Dari segi ekonomi, Zee How berkata, ekonomi yang stabil amat dititik beratkan oleh pengundi cina kerana rata-rata mereka terlibat dalam perniagaan.
"Bidang perniagaan memerlukan sesebuah keadaan yang stabil," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca