SHAH ALAM - Setiap parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, tidak boleh memandang mudah kepada pengundi atas pagar yang dilihat menjadi penentu kepada parti yang membentuk kerajaan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, trend pengundi yang tidak memihak mana-mana parti ini akan terus berlaku pada PRU15 sama seperti yang terjadi ketika BN tumbang pada PRU14 lalu.
Menurutnya, kajian yang dilakukan USM mendapati jumlah pengundi atas pagar kali ini agak besar meliputi 40 peratus daripada keseluruhan pengundi sekali gus signifikan untuk menentukan kerajaan.
"Pengundi tegar parti sudah tentu akan keluar mengundi yang dianggarkan kira-kira 30 peratus untuk setiap gabungan. Maka, tinggal 40 peratus sahaja yang di atas pagar yang akan mencorakkan hasil akhir pengundian itu nanti.
"Jika pada PRU14 lalu, kita lihat pengundi atas pagar cenderung memilih Pakatan Harapan (PH) kerana isu yang dimainkan ketika itu iaitu 1Malaysia Development Berhad (IMDB); bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
"Jadi, pengundi atas pagar ini akan membuat keputusan di saat akhir sama ada akan keluar mengundi atau tidak selepas setiap parti berkempen dan melihat sama ada kempen yang dibawa itu mampu menambat hati mereka.
"Jadi, jangan pandang mudah kepada pengundi atas pagar ini kerana mana-mana parti pun tidak ada kelebihan ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada PRU14 lalu, pengundi atas pagar menjadi penentu utama kepada kemenangan PH yang mencipta kejutan menumbangkan BN pada ketika itu.
Beliau berkata, parti perlu bijak untuk menarik keyakinan dan kepercayaan pengundi atas pagar tersebut terutama dengan pemilihan calon yang betul, menawarkan kestabilan dan menguasai isu yang dibawa.
"Perkara pertama untuk menarik sokongan adalah penampilan calon itu sendiri yang mempunyai ketokohan, kewibawaan dan berkualiti.
"Kedua, kita berada dalam fasa pemulihan selepas Covid-19, sudah pasti negara sudah melalui pelbagai penjajaran politik dan pelbagai isu berkaitan ekonomi.
"Dalam proses pemulihan ini, pengundi atas pagar mahukan kestabilan daripada segi kos sara hidup, ekonomi, peluang pekerjaan dan peluang untuk setiap kumpulan umur apatah lagi pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi kali ini," katanya.
Sivamurugan turut menyifatkan isu yang dibawa pada PRU15 kali ini juga perlu menunjukkan kematangan, meminimumkan masalah dalaman selain cenderung untuk bergerak sebagai satu faktor penyatuan dalam parti.
Selain undi atas pagar, beliau menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan undi protes yang dijangka menjadi penentu kepada kemenangan parti.
"Kalau kita tengok PRU15 kali ini sedikit berbeza daripada pemilihan calon, ada yang penyandang kawasan ditukar di tempat lain dan ada yang digugurkan. Isu seperti ini juga perlu ditangani dengan bijak supaya tidak mengheret kepada undi protes," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca