SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dan BN masing-masing menumpukan pengundi atas pagar iaitu dalam kalangan mereka yang pertama kali mengundi seperti golongan muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, PN akan berjumpa dengan pengundi terutama pelajar kolej dan universiti.
"Kita cuba berjumpa seramai mungkin para pelajar ini sebelum mereka balik ke tempat undian masing-masing.
"Oleh kerana anak-anak muda sekarang ini sangat hebat dengan media sosial, jadi kita gunakan medium berkenaan secara meluas dan besar-besaran kepada semua pengundi (terutama) pengundi baharu untuk kita berkempen," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Jelasnya, antara tawaran yang dikemukakan adalah PN menolak rasuah dan mengutamakan aspek integriti.
Bagi menarik penyokong PN, Razali menambah, gabungan itu menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan perumahan di samping menumpukan kepada Majlis TVET Negara serta Majlis Pekerjaan Negara sebagai asas persediaan peluang pekerjaan.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rizam Ismail turut menyatakan BN menumpukan pengundi kali pertama dan golongan muda sebagai pengundi atas pagar.
"Berbekalkan pengalaman dan kemenangan lepas, saya yakin BN ada formula untuk menarik pengundi atas pagar. Pertama, mungkin meletakkan gandingan muka baharu dan lama yang berwibawa.
"Saya yakin dan percaya pengundi sudah melihat parti mana mempunyai rekod memimpin yang mampu melaksanakan apa dijanji dan stabil dalam politik," ujarnya.
Beliau turut optimis bahawa pengundi ini memilih BN di samping sejarah parti memerdekakan dan memimpin negara dalam tempoh yang lama," jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca