"HAMPIR 7,000 pesakit setiap hari datang untuk mendapatkan rawatan dan perubatan tradisional Cina (TCM) di hospital ini,” kata seorang staf wanita yang membawa sekumpulan wartawan meninjau Hospital Guanganmen. Lebih menarik, tambahnya,... Klik di sini untuk terus membaca

"HAMPIR 7,000 pesakit setiap hari datang untuk mendapatkan rawatan dan perubatan tradisional Cina (TCM) di hospital ini,” kata seorang staf wanita yang membawa sekumpulan wartawan meninjau Hospital Guanganmen.

Lebih menarik, tambahnya, pesakit bukan sahaja daripada golongan warga emas, malahan hospital yang memberi perkhidmatan TCM sepenuhnya itu turut dikunjungi golongan remaja dan kanak-kanak.

Seusai mendengar taklimat di dalam dewan, penulis diberi kesempatan untuk melawat dan melihat sendiri keadaan hospital tersebut. Jelas ternyata ramai pengunjungnya.

Agak sukar untuk mempercayainya dalam era moden ini, masih ada lagi dalam kalangan penduduk negara itu percaya akan perubatan tradisional ini.

Ada juga dalam kalangan pesakit semasa ditemu bual penulis memberitahu bahawa mereka meletakkan kepercayaan yang penuh terhadap TCM ini dan langsung tidak menggunakan perubatan moden.

"Saya tidak pernah menggunakan perubatan moden atau canggih. Seumur hidup saya memang 100 peratus percaya akan TCM ini. Ia terbukti berkesan,” kata pesakit itu yang berumur dalam lingkungan 50 tahun itu.

Malahan, semasa penulis berborak dengan seorang remaja yang menetap di sini, katanya ia merupakan galakan daripada ibu bapa.

"Melalui galakan ini, saya sering kali hadir di sini untuk mendapatkan perubatan tradisional dengan kerelaan diri saya sendiri apabila tidak sihat. Ia sememangnya berkesan,” ujarnya.

Penulis diberitahu TCM merupakan sistem penyembuhan yang kekal utuh dan mampu bertahan selama beribu-ribu tahun lamanya. Ia juga adalah sebahagian komponen dalam kebudayaan tradisional China.

Asal usul perubatan Cina muncul pada era shamanistik Zaman Dinasti Shang iaitu pada tahun 1766 hingga 1122 sebelum masihi (SM), manakala ilmu perubatan tradisional pula mula dipraktikkan lebih 5,000 tahun lamanya.

Peserta CIPCC ketika berkunjung ke Hospital Guanganmen.

RAWATAN SUMBER ALAM

Menurut kepercayaan rakyat China, TCM ini diwujudkan kerana badan manusia tidak boleh dipisahkan dengan alam semesta.

Oleh itu, apabila sakit, seseorang pesakit itu perlu mendapatkan rawatan yang mempunyai sumber alam.

Ilmu perubatan tradisional Cina telah berkembang dengan baik dan sehingga kini terdapat lebih 2,500 pusat rawatan perubatan di seluruh negara ini dan mendapat perlindungan kerajaan China.

Ia amat disambut baik oleh rakyat tempatan sehinggakan TCM ini telah menguasai lebih kurang satu pertiga dalam pasaran sektor perubatan di negara yang miliki penduduk paling ramai di dunia itu.

Sehingga tahun 2021, pusat rawatan bagi menyediakan perubatan tradisional Cina ini terus berkembang terutama di bandar-bandar besar.

Ia bukan sahaja memudahkan pesakit, malahan dengan penubuhan pusat perubatan itu telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 550,000 pekerja.

Menurut pembacaan, ilmu perubatan tradisional ini telah dikembangkan oleh banyak etnik kerana China mempunyai pelbagai suku kaum antaranya dari Zhuangzu, Mongol dan Tibet.

Antara herba yang dijadikan sebagai ubat merawat pesakit

Namun, ilmu perubatan tradisional Cina yang paling mendapat perhatian adalah dari etnik Hanzu.

Ini kerana ia mempunyai kelebihan seperti cara perubatan dan juga kesan yang lebih efektif. Oleh itu, penggunaannya begitu meluas dalam kalangan pesakit.

Selain daripada perubatan herba, TCM juga mempunyai pelbagai pendekatan lain untuk merawat pesakit seperti akupunktur, moxibustion, tuina (urutan terapeutik), terapi diet, tai chi dan qi gong.

Setiap rawatan yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang berbeza dan untuk penyakit yang berlainan.

Malahan, bagi mereka yang tidak mempunyai penyakit juga boleh menerima rawatan tradisional tersebut.

Penulis difahamkan perubatan herba boleh diperoleh melalui pelbagai cara. Ada yang hanya melalui bau, ada yang diletakkan di dalam nasi atau melalui minuman.

Paling menarik, mereka meletakkan herba tersebut di dalam masakan contohnya dalam kek ataupun roti. Meskipun rasa agak sedikit berlainan, namun ia masih boleh dimakan oleh penulis.

Disebabkan mempercayai keberkesanan TCM, China turut menggunakannya sebagai rawatan Covid-19 dengan mengedarkan produk herba dan kapsul selesema kepada penduduk.

Perubatan tradisional Cina ini turut mendapat perhatian kerajaan Malaysia. Buktinya, pada 31 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkukuhkan kerjasama dengan China TCM.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha itu selari dengan visi untuk mengintegrasikannya bersama perubatan moden sebagai suatu usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup rakyat.

Tambah Khairy, ia selaras dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga kerajaan Malaysia yang mengiktirafkan sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional serta membolehkan negara bergerak ke arah kesihatan lebih baik.

* Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca