SHAH ALAM - Pilih calon yang mempunyai potensi masa depan dengan membawa ciri-ciri seperti berintegriti, sederhana, tidak sombong dan berkelayakan selain mempunyai ‘keseronokan’ untuk membantu rakyat tanpa bersifat bermusim. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilih calon yang mempunyai potensi masa depan dengan membawa ciri-ciri seperti berintegriti, sederhana, tidak sombong dan berkelayakan selain mempunyai ‘keseronokan’ untuk membantu rakyat tanpa bersifat bermusim.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyampaikan pesanan itu kepada semua pucuk kepimpinan parti di negara ini yang ingin mencalonkan pemimpin untuk bertanding pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kalau mahu pilih calon untuk bertanding, perkenalkan muka-muka baharu yang membawa ciri-ciri seperti berintegriti, bersikap sederhana di mana mereka tidak menunjukkan kemewahan apabila sudah menjadi pemimpin.

"Tidak bersifat sombong dan sentiasa berjiwa rakyat selain senang berjumpa walaupun sudah memegang sesuatu jawatan dan berkuasa.

"Calon dipilih itu juga perlu berkelayakan dari segi latar belakang pendidikan kerana mereka boleh berhujah dengan baik di Parlimen selain mampu menentukan dasar dan polisi secara baik tanpa perlu jadi yes man dalam membuat sesuatu keputusan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penekanan terhadap nilai-nilai termasuk integriti, bersifat sederhana dan berkelayakan bukan sahaja menjadi contoh baik kepada rakyat, malah mampu mengembalikan kepercayaan dan sokongan rakyat terutama golongan muda terhadap pemimpin politik.

"Orang ramai akan hormat semula terhadap pemimpin politik. Paling merisaukan ketika ini apabila ahli politik tidak lagi dihormati dan dipandang secara baik oleh kebanyakan rakyat.

"Sampai pada satu tahap ahli politik dijadikan bahan ketawa dan troll oleh netizen selain menganggap kesemua parti politik adalah sama sahaja (tidak boleh dipercayai) dan akhirnya membuat keputusan untuk tidak mengundi mana-mana parti,” ujarnya.

Raja Nong Chik

Justeru, beliau memberitahu ini adalah masa terbaik bagi pucuk kepimpinan memilih calon-calon baharu yang berpotensi dan berkaliber untuk ditampilkan mewakili parti pada PRU15.

"Kita harap benda ini dapat diubah. Jadi sekarang mereka yang berada di kepimpinan tertinggi berpeluang untuk melakukan perubahan dari segi pemilihan calon.

"Kalau ikut sahaja kehendak warlord dan memilih kroni untuk meletakkan calon akhirnya negara ini jadi rosak maka rakyat akan tolak parti itu malah calon-calon muda yang berkelayakan diketepikan begitu sahaja selain tidak ada peluang untuk menunjukkan kebolehan dan kemampuan masing-masing,” jelasnya.

Beliau menambah calon yang dipilih berdasarkan kroni dan bukannya atas kelayakan memberi kesan tidak baik terhadap masa depan negara.

"Ia menjadi satu trend yang bahaya untuk masa depan negara jika negara ini ditadbir oleh mereka tidak berkelayakan. Jadi saya berharap pucuk kepimpinan mana-mana parti untuk memilih pemimpin yang betul-betul layak dan dihormati semua,” ujarnya.

TETAP BERKHIDMAT

Tambah beliau, calon yang dipilih untuk bertanding pada PRU15 juga perlu ada sifat mempunyai keseronokan untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Mereka yang dipilih ini jangan menjadi pemimpin bersifat bermusim dan perbuatan dan sikap itu hanya pada musim pilihan raya sahaja.

"Semasa PRU sememangnya semua bersifat rajin dan seharusnya sikap itu perlu berterusan dan dikekalkan walaupun bukan musim pilihan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Raja Nong Chik memaklumkan beliau tidak berhasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU15, selain sudah tiba masa memberi laluan kepada muka baharu.

"Saya tidak akan bertanding, beri peluang kepada muka baharu. Saya berharap calon yang diletakkan untuk bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai adalah individu yang berkelayakan seperti ciri-ciri yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Ketika ditanya soal mengenai masih ramai penduduk di Lembah Pantai yang memuji sifat beliau yang tetap berkhidmat meskipun tidak lagi bergelar wakil rakyat, beliau menjelaskan perkara itu masih tetap diteruskan kerana berasa seronok mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa.

"Walaupun saya sudah lepaskan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai bukan jadi penghalang untuk turun padang mendengar masalah rakyat.

"Saya seronok bersama dengan rakyat dan membantu masalah yang mereka dihadapi.

"Kena ada rasa seronok bekerja untuk rakyat dan perkara itu saya tekankan pada pengganti saya untuk kekal berkhidmat dan terus membantu rakyat tanpa bersifat bermusim,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca