SHAH ALAM - Pengundi atas pagar masih lagi dalam fasa membuat pertimbangan dan pola sokongan golongan ini dijangka boleh dilihat seminggu terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, situasi berkenaan jauh berbeza berbanding pada PRU14 yang mana pengundi atas pagar sudah buat keputusan dan menunjukkan gelombang sokongan mereka dalam tempoh sebulan sebelum pilihan raya.
Namun kali ini, beliau melihat golongan itu sehingga kini belum membuat keputusan yang muktamad.
"Pada tahun 2018, dalam tempoh sebulan ke arah pilihan raya, pengundi atas pagar sudah buat keputusan dan mereka tunjuk. Sebab itu, kita boleh nampak ada gelombang.
"Berbeza situasi kali ini, mereka masih lagi melihat dan menonton. Saya rasa pengundi atas pagar merasakan belum cukup puas hati dan nak tengok lagi. Beberapa kali mereka ‘survey’ tapi belum buat keputusan,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian.
Tegas Rafizi, pengundi juga lebih cerdik dan mereka sudah melihat bagaimana ketiga-tiga gabungan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN dan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
Justeru katanya, swing atau perubahan sokongan pengundi atas pagar ini hanya boleh dilihat ke arah mana dalam seminggu terakhir menjelang hari pengundian.
"Namun, paling kurang bagi PKR dan PH, kita tahu bahawa keadaan kita kukuh berbanding dengan situasi di Johor dan Melaka.
"Jadi, kalau UMNO dan BN nak ingatkan PH disebabkan itu (kemenangan di Johor dan Melaka), saya ucap good luck to them. Pandai-pandai merekalah.
"Kita tahu keadaannya, sama kuat sekarang ini cuma soalnya dalam masa tiga minggu dari sekarang sebelum mengundi pada 19 November, macam mana kita nak meyakinkan pengundi terutamanya atas pagar yang ada lebih kurang 40 peratus.
"Parti mana yang akhirnya mereka nak sebab mereka masih melihat dan itu bezanya dengan 2018. Tapi jika dilihat daripada segi data, maksudnya apabila secara saintifik kita ukur pandangan rakyat tentang situasi semasa, keadaan sokongan sekarang ini lebih kurang sama dengan 2018.
"Itu yang menyebabkan pilihan raya kali ini paling sukar dijangka berbanding pilihan raya-pilihan raya lepas sebab orang tak tunjuk.
"Saya ingat, pengundi atas pagar ini terutamanya mereka nak hantar isyarat kepada parti-parti politik (iaitu) kalau nak dapat undi, kena bersaing,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca