SABAN hari, industri halal di peringkat global dan lokal semakin menunjukkan trend menaik dengan begitu memberangsangkan.
Halal farmaseutikal termasuk salah satu bidang yang dipelopori oleh Muslim pada hari ini atas tuntutan mencari yang halal itu suatu kefarduan.
Isu terkini dalam halal farmaseutikal, ialah penggunaan ganja dan ketum untuk perubatan.
Ia mula mendapat perhatian pelbagai pihak berautoriti seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan para mufti.
Mereka memberi komen positif untuk menilai kembali fatwa yang lepas mengenai hukum ganja untuk tujuan perubatan dan pihak perundangan untuk menggubal dan memperuntukkan ganja menurut akta dan tindakan yang sesuai.
Tidak terkecuali juga, para penyelidik dari universiti dan industri farmaseutikal seperti Duopharma Biotech yang sedang dalam proses untuk menghasilkan ubat daripada ganja.
Pada asalnya, undang-undang Malaysia boleh mendakwa mana-mana rakyat Malaysia yang membuat penanaman, pengeluaran, pengedaran, import, eksport, pemilikan dan penyalahgunaan kanabis di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala penyalahgunaan ketum pula boleh dikenakan di bawah Akta Racun 1952. Bagaimanapun, Akta Jualan Dadah 1952 tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
DALIL-DALIL
Dari segi perspektif syariah pula, ganja termasuk dalam kategori tidak disebutkan dalil-dalil pengharamannya seperti pengharaman babi dan arak di dalam al-Quran secara terang-terangan.
Para ulama Islam memberi keputusan fatwa dan ijtihad mereka berdasarkan kaedah qiyas iaitu dengan melihat ‘illah dari meminum arak adalah boleh memabukkan atau menghilangkan akal.
Dari sudut saintifik, ganja yang dikenali sebagai Marijuana atau Cannabis Sativa mengandungi lebih 500 bahan kimia termasuklah delta-9 tetrahydrocannabinol (THC) iaitu unsur yang boleh mengubah cara manusia berfikir.
Manakala, unsur yang dikatakan dapat mengurangkan keradangan dan tahan sakit juga terdapat di dalam ganja iaitu cannabidol (CBD).
Kesan sampingan ganja dan ketum ini kepada penggunanya dikatakan berbeza mengikut badan masing-masing seperti memberi tenaga, menenangkan penderita depresi dan autistik.
Penggunaan ganja sama juga seperti dadah. Perbezaannya ialah ganja dan ketum dari sumber semulajadi iaitu pokok.
Manakala, dadah pula dicipta menggunakan sumber sintetik secara kimia, yakni digunakan dalam ubat-ubatan penahan sakit dan penenang sakit atau pain killer kepada beberapa jenis sakit yang melampau.
Meninjau kepada alternatif dan peluang yang ada, hukum dari aspek syariah, boleh dipertimbangkan semula dari segi keharusannya.
Sudah tentu, SOP penggunaan ganja atau ketum perlu digariskan agar setiap inci pergerakan dan penanaman pokok cannabis sativa ini dipantau ketat.
Namun, sekiranya penggunaan dadah atau ganja yang berlebihan dos, tidak mendapat seliaan dan nasihat daripada pakar doktor perubatan, bahkan si pesakit disahkan penagih dadah tegar, malah mengedarkan pula kepada ratusan penagih dadah yang lain, maka sangat jelas, perbuatannya salah di sisi undang-undang.
Dengan kata lain, aspek penting dalam pengeluaran hukum terhadap ganja mahupun ketum untuk tujuan perubatan ini hendaklah dikaji semula dari sudut fatwa dan perundangan kerana dunia hari ini bergerak seiring dengan perubahan dari segi kecanggihan teknologi yang boleh memanipulasi dan mengawal penggunaan seperti dadah dan seumpama dengannya agar memberi manfaat yang besar kepada nyawa pesakit dan industri penyelidikan.
Keterbukaan para mufti dan ulama untuk muzakarah semula dalam isu ganja dan ketum untuk tujuan perubatan dan penyelidikan ini menzahirkan keterbukaan syariat Islam dalam menjaga nyawa manusia, sekali gus membuktikan prinsip-prinsip maqasid syariah itu dijunjung tinggi.
* Penulis merupakan Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Klik di sini untuk terus membaca