KUANTAN - Para pengundi bukan Melayu di negeri Pahang mula menyuarakan isi hati mereka terhadap kriteria pemilihan calon pemimpin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Antara yang sering disebut-sebut adalah seseorang pemimpin itu perlu mewujudkan kestabilan dalam sistem pentadbiran bagi membantu memulihkan ekonomi negara.
Rata-rata mereka mengakui tidak kisah parti politik mana yang mentadbir negeri mahupun negara, asalkan ada perubahan dari sudut ekonomi dan pemerintahan.
Boon Cheat Ying, 38, mengakui pemulihan ekonomi amat penting kepada sesebuah negara kerana menggambarkan rakyat yang bebas isu kos sara hidup seperti terhindar daripada peningkatan harga barangan keperluan harian sekali gus peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat.
Katanya, isu ini penting bagi semua rakyat kerana ia melibatkan survival diri dan keluarga golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
"Sekarang ini ramai orang miskin. Tidak kira Cina, Melayu atau India, semua hidup susah.
"Kalau boleh kerajaan (baharu) pada kali ini, berilah tumpuan kepada masalah kemiskinan. Jika pasaran ekonomi negara sudah stabil dan baik, rakyat boleh bekerja serta perniagaan pun tidak terbantut," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di daerah ini.
Pegawai eksekutif swasta, Kam Wai Kin, 50, pula berkata, aspek pemulihan ekonomi antara perkara yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan baharu.
Jelasnya, pemilihan parti dan calon pada 19 November nanti dipastikan mampu mentadbir Malaysia ke arah lebih baik.
"Sebagai pengundi, saya pasti memilih calon yang berintegriti, tiada kes mahkamah, muka (calon) yang tidak popular tidak apa asalkan mereka boleh buat kerja dan bersih," katanya.
Senada dengan itu, Peng Koi Moi, 66, berkata, rakyat sudah cukup terseksa dan situasi negara yang tidak menentu disebabkan pemimpin gila kuasa.
"Kali ini, kuasa memilih di tangan kita. Jadi kita perlu pilih parti yang boleh beri kestabilan politik dan pemimpin bersih demi memastikan negara bebas dari rasuah dan salah guna kuasa," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca