PIHAK berkuasa Korea Selatan mengesahkan lebih 150 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden rempuhan di daerah Itaewon, Seoul melibatkan pengunjung yang menghadiri sambutan pesta Halloween pada Sabtu.
Insiden itu berlaku di kawasan berhampiran Hotel Hamilton kira-kira jam 10.20 malam (waktu tempatan).
Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak Korea Selatan melonggarkan sekatan Covid-19.
"Sekurang-kurangnya 19 warga asing maut dalam insiden ini dan mangsa dikenal pasti berasal dari Iran, Uzbekistan, China serta Norway,” menurut Ketua Jabatan Bomba Yongsan, Choi Seong-Beom dalam satu sesi taklimat.
Pihak bomba memaklumkan kebanyakan mangsa dalam rempuhan tersebut adalah remaja dan individu berusia lingkungan 20-an.
Bomba tidak menolak angka kematian mungkin meningkat kerana sebahagian besar mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal. Punca sebenar kejadian masih disiasat.
UMPAMA DOMINO
Saksi berkata, kejadian tersebut berlaku selepas orang ramai berhimpit dan bertolakan di lorong sempit sehingga mencetuskan suasana panik.
Kejadian itu menyebabkan orang ramai terjatuh ketika menuruni laluan bercerun dan saling menimpa antara satu sama lain.
Seorang mangsa yang terselamat dalam rempuhan tersebut berkata, situasi cemas itu ‘seperti permainan domino’ selepas ditolak.
"Kami terperangkap selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan,” kata Kim.
Tambahnya, kebanyakan mangsa mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas.
Seorang lagi mangsa yang terselamat berkata, dia berjaya mengelak daripada dipijak dengan bertindak masuk ke dalam sebuah bar yang pintunya terbuka di lorong berkenaan.
KOREA BERKABUNG
Sementara itu, Presiden Yoon Suk-yeol pada Ahad mengumumkan tempoh berkabung dan mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang susulan insiden rempuhan di Itaewon.
Suk-yeol turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan kementerian berkaitan untuk menjalankan semakan terperinci terhadap semua perayaan Halloween serta perayaan tempatan lain bagi memastikan penganjurannya diadakan dengan teratur dan selamat.
"Kerajaan menetapkan tempoh berkabung bermula hari ini (Ahad) sehingga kejadian itu dapat diuruskan sepenuhnya dan hal ehwal pentadbiran negara akan mengutamakan pemulihan serta langkah susulan.
"Paling penting adalah menentukan punca kemalangan dan mencegah kejadian sama berulang kembali pada masa hadapan,” ujarnya.
PEMIMPIN DUNIA UCAP TAKZIAH
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan beberapa pemimpin negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mengucapkan takziah atas tragedi rempuhan di Seoul.
"Saya dan Jill (isteri) mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang di Seoul.
"Kami turut berduka dengan rakyat Korea Selatan dan berharap semua yang cedera cepat sembuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak turut menzahirkan simpati dan berharap insiden tersebut tidak lagi berulang pada masa hadapan.
Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron juga antara mereka yang mengucapkan takziah di Twitter.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau turut mendoakan semua mangsa yang terselamat cepat sembuh. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca