BEBERAPA hari lepas, sahabat saya Profesor Dr Nazari Ismail Pengerusi BDS Malaysia menghantar mesej WhatsApp kepada saya. BDS ialah singkatan bagai Boycott (boikot), Divestment (lupus) dan Sanctions (sekat). Ia merupakan sebuah gabungan... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lepas, sahabat saya Profesor Dr Nazari Ismail Pengerusi BDS Malaysia menghantar mesej WhatsApp kepada saya.

BDS ialah singkatan bagai Boycott (boikot), Divestment (lupus) dan Sanctions (sekat).

Ia merupakan sebuah gabungan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), kumpulan dan individu Malaysia yang berkongsi usaha menyokong perjuangan Palestin dan mempromosi kebebasan, keadilan dan kesaksamaan terhadap Palestin.

Kali ini, mesej Prof Nazari ialah berkaitan dengan seruan kepada semua calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya terus menunjuk dan mengukuhkan solidariti dan sokongan untuk Palestin.

Pada 26 Oktober yang lepas tersebarlah berita rasmi bahawa 29 NGO menyokong seruan tersebut.

Antaranya ialah BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Muslim Professionals Forum, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Ikram Malaysia, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Aliansi Masjid Sedunia Mempertahan Masjid Al Aqsa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysi (PKPIM), Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT), MyCARE, Malaysian Women Coalition for al Quds and Palestine (MWCQP) dan Solidariti dan Sokongan untuk Palestin.

KEKEJAMAN ZIONIS

Tiga prinsip ditegaskan oleh kenyataan media kumpulan ini.

Prinsip pertama ialah solidariti dan sokongan untuk Palestin. Kekejaman yang mengerikan dan penindasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin di tangan Zionis sejak 74 tahun lalu adalah satu noda pada hati nurani moral seluruh masyarakat antarabangsa.

Prinsip kedua ialah penolakan sebarang usaha normalisasi hubungan dengan negara aparteid Israel yang sedang melakukan jenayah aparteid terhadap warga Palestin. Hakikat ini disahkan oleh empat organisasi antarabangsa:i) Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB di Asia Barat (ESCWA).

ii) B’Tselem, sebuah kumpulan pembela hak asasi manusia di Israel.

iii) Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch).

iv) Amnesty International.

Malaysia ialah antara negara yang menjadi sasaran Israel untuk hubungan normal.

Jenayah aparteid di bawah undang-undang antarabangsa moden dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Untuk memberikan pengiktirafan dan penghormatan kepada negara aparteid adalah sama kejamnya dengan mengamalkan aparteid itu sendiri.

Prinsip ketiga ialah ancaman keselamatan negara daripada Israel.

Beberapa kejadian telah berlaku di negara kita yang menunjukkan bahawa negara Zionis Israel telah dan sedang mencuba untuk menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara kita. Kini warganegara Malaysia telah diupah untuk menjayakan usaha agensi perisikan Israel Mossad.

Begitu juga dengan laporan pemerolehan perisian pengintipan NSO/Pegasus oleh agensi keselamatan dalaman Malaysia dari pembekal yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi perisikan Israel.

Dengan itu kesemua 29 organisasi menyeru kepada semua calon dan parti politik yang bertanding dalam PRU15 untuk mengisytiharkan bahawa:

1. Solidariti mereka tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin dalam perjuangan murni mereka untuk mendapat kebebasan dan keadilan serta memberi sokongan yang berterusan kepada semua langkah ke arah mencapai objektif itu.

2. Mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 akan mengamalkan pendirian yang tidak berbelah bahagi untuk meneruskan polisi tidak mengiktiraf negara aparteid Zionis Israel dan menolak usaha normalisasi hubungan dengannya.

3. Mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menggagalkan sebarang usaha untuk menjejaskan keselamatan negara Malaysia oleh negara Zionis Israel.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Aktivis Masyarakat dan Penulis

Klik di sini untuk terus membaca