MENJELANG lima hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM), kini berdepan dengan kemelut dalaman sehingga menimbulkan tanda tanya adakah parti baharu dipimpin 'dua... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG lima hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM), kini berdepan dengan kemelut dalaman sehingga menimbulkan tanda tanya adakah parti baharu dipimpin 'dua Presiden' itu tersungkur awal sebelum bertanding.

Kemelut PBM bermula selepas Datuk Larry Sng Wei Shien menjelaskan dirinya masih menjawat jawatan Presiden walaupun Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan pada 8 Oktober memaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai Presiden baharu.

Larry yang mendakwa masih Presiden yang sah kemudiannya menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi termasuk Zuraida sebagai ahli parti pada 28 Oktober biarpun penggantungan itu dikatakan tidak sah kerana tidak mengikut prosedur ditetapkan, kata Timbalan Presiden, Haniza Talha.

Kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Ahad kemudiannya menghangatkan lagi kemelut PBM apabila mengesahkan Larry masih lagi Presiden berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Jelas situasi tegang melibatkan pergolakan dalaman parti berasal dari Sarawak itu boleh menjejaskan bukan sahaja reputasi tetapi juga peluang meraih kepercayaan pengundi PRU15.

CHIN HUAT

Bagi penganalisis politik dari Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat, pergolakan dalaman PBM boleh dianggap langkah kiri buat parti baharu tersebut tatkala PRU15 membuka tirainya.

"Ini sememangnya langkah kiri kerana kemelut berlaku dalam kalangan ahli parti sendiri dan ia pasti melemahkan imej PBM di mata pengundi,” katanya kepada Sinar Premium.

Menurut beliau, PBM adalah projek bersama untuk mereka yang melompat parti daripada Pakatan Harapan dan Parti Warisan sekali gus mengharapkan PBM dapat memberi satu imej baharu.

"Namun dengan kemelut yang melanda, situasi hanya menampakkan kelemahan sekali gus tidak dapat dipercayai di mata pengundi.

"Sudahlah mereka bermula dengan kesusahan mendapat sokongan kerana dilihat sebagai katak atau pengkhianat,” katanya lagi.

Ujar Chin Huat, satu-satunya calon PBM yang berpeluang cerah menang dalam PRU15 ialah Larry kerana keluarganya berpengaruh di Julau serta mempunyai ikatan kuat dengan masyarakat di sana.

PBM sebelum ini dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak yang diasaskan oleh Larry sendiri pada 2012.

Larry pernah menyertai PKR sebelum mengundurkan diri menjadi Ahli Parlimen Bebas menyokong kerajaan, semasa krisis kepimpinan Kerajaan Persekutuan awal Mac 2020.

Dalam pada itu, timbul persoalan sama ada ahli PBM yang mahu bertanding tetapi pada masa terlibat dengan penggantungan, boleh menggunakan tiket PBM sekiranya tidak ‘direstui’ Larry.

Terdahulu, Zuraida yang mendakwa masih memimpin parti berkenaan menegaskan, segala kemelut parti berkenaan akan diselesaikan secara dalaman dan dijangka mencapai kata sepakat menjelang hari penamaan calon.

Beliau berkata, isu itu dijangka dimuktamadkan secara dalaman, termasuk jawatan presiden dan penggantungan keahliannya oleh Larry.

Mengulas lanjut Chin Huat berkata, meskipun PBM akhirnya berdamai, tetapi jenama parti itu telah tercemar dan akan memberikan kesan yang tidak baik pada hari pengundian nanti.

SIVAMURUGAN. Foto SINAR HARIAN / Rafeq Redzuan

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, isu perebutan jawatan presiden akan menyebabkan pengundi PRU15 menilai PBM sebagai sebuah parti yang bermasalah dalam kepimpinan.

"Sebagai sebuah parti baharu, bagaimana PBM mahu menarik sokongan pengundi PRU15 sekiranya dari awal sudah bermasalah?” soalnya.

Tegasnya, pertembungan antara Larry dan Zuraida yang juga penyandang Parlimen Ampang, turut membawa persepsi seolah-olah terdapat dua kem berbeza dalam PBM dan keadaan tersebut tidak harus dibiarkan berlarutan.

"Dua pemimpin ini seharusnya duduk dan mencari kesepakatan bagi mengenal pasti punca sekali gus menyelesaikan konflik dalaman parti bagi mengelakkan ia menjadi lebih serius,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca