SUNGAI Tigris di Iraq dikatakan telah mengairi 'Syurga Eden' dan membantu melahirkan tamadun itu sendiri sejak ribuan tahun lalu tetapi kini sedang mati ekoran aktiviti manusia dan masalah perubahan iklim yang menyekat alirannya... Klik di sini untuk terus membaca

SUNGAI Tigris di Iraq dikatakan telah mengairi 'Syurga Eden' dan membantu melahirkan tamadun itu sendiri sejak ribuan tahun lalu tetapi kini sedang mati ekoran aktiviti manusia dan masalah perubahan iklim yang menyekat alirannya yang dahulunya hebat melalui Iraq.

Iraq mungkin kaya dengan minyak tetapi negara itu dilanda dengan kemiskinan selepas beberapa dekad perang dan kemarau dan penggurunan manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Iraq adalah salah satu daripada lima negara paling terdedah kepada perubahan iklim.

Bersama dengan sungai kembarnya, Furat, kedua-duanya menjadikan Mesopotamia sebagai terletaknya tamadun manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Sungai Furat atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai Euphrates ialah salah satu daripada sungai yang mengembangkan tamadun Mesopotamia yang mengalir dari Anatolia dengan panjangnya lebih kurang 2,781 kilometer.

Mulai April lalu, suhu melebihi 35 darjah Celsius dan ribut pasir yang kuat sering menjadikan langit bertukar warna kepada jingga sehingga menyebabkan negara berkenaan berada dalam keadaan lapisan debu dan ada ketikanya suhu mencecah sehigga 50 darjah Celcius dengan bekalan elektriknya kerap terputus.

Sungai Furat turut mengalir di Raqa, Syria yang semakin kering. - Foto AFP

Aliran Sungai Tigris yang merupakan talian hayat yang menghubungkan bandar-bandar bertingkat di Mosul, Baghdad dan Basra telah diganggu dengan pembinaan empangan kebanyakannya dari hulu iaitu di Turki dan mengalami masalah hujan yang berkurangan.

Seorang wartawan video AFP pernah mengembara di sepanjang laluan sungai itu sepanjang 1,500 kilometer melalui Iraq dari utara Kurdis sehingga ke selatan untuk mendokumentasikan bencana ekologi yang memaksa orang ramai mengubah cara hidup kuno mereka.

Sungai Tigris melalui Iraq dan bermula di kawasan pergunungan Kurdis berhampiran sempadan Turkiye dan Syria dan menjadi tempat penduduk tempatan unruk menternak biri-biri dan menanam kentang merupakan nadi kehidupan bagi penduduk tempatan.

"Hidup kami bergantung kepada (sungai) Tigris. Semua kerja kami, pertanian kami, bergantung kepadanya. Sebelum ini, air mencurah-curah tetapi sejak dua atau tiga tahun lalu air kurang setiap hari,” kata seorang petani, Pibo Hassan Dolmassa, 41 yang memakai kot berdebu di bandar Faysh Khabur seperti dilaporkan AFP.

Kerajaan Iraq dan sebahagaian petani Kurdis menuduh Turkiye yang mana Sungai Tigris tempat ia menahan air di empangannya sekali gus menyebabkan aliran ke negara bekas Presiden Saddam Hussein itu memerintah semakin menurun dan ia disokong oleh statistik rasmi.

Statistik rasmi menunjukkan Sungai Tigris yang memasuki Iraq telah menurun kepada hanya 35 peratus daripada sepanjang abad yang lalu sehingga mendorong Baghdad kerap meminta Ankara melepaskan lebih banyak air dari empangannya.

DIBAZIRKAN

Bagaimanapun, Duta Turkiye ke Iraq, Ali Riza Guney menggesa Iraq supaya menggunakan air yang ada dengan lebih cekap dan beliau membuat ciapan di Twitter pada Julai lalu bahawa sebahagian besar air telah dibazirkan di Iraq.

Gesaan Ali Riza itu kemungkinan benar, kata pakar kerana para petani Iraq cenderung membanjiri ladang mereka seperti yang telah dilakukan sejak zaman Sumeria purba dan bukannya mengairinya sekali gus mengakibatkan kehilangan air yang banyak.

Di wilayah Basra selatan, di mana sungai Tigris dan Euphrates berkumpul sebelum bermuara ke Teluk, beberapa kawasan didapati tidak mempunyai air minuman bersih kerana paras air yang berkurangan dan salinasi yang tinggi.

Menurut tinjauan Majlis Pelarian Norway (NRC), sebanyak 25 peratus isi rumah yang bergantung kepada pertanian seklai gus menyaksikan tanaman gandum pada musim ini mengalami kegagalan sehingga lebih 90 peratus.

Ia menyatakan bahawa akibat daripada kesan kemarau terhadap pengeluaran tanaman, sebanyak satu perempat daripada isi rumah para petani menyatakan bahawa mereka tidak mendapat sebarang keuntungan daripada menjual tanaman gandum mereka pada tahun ini.

Menurut NRC, ia telah meninjau seramai 1,341 isi rumah pada Ogos lalu di lima buah wilayah termasuk Basra, Nineveh dan Anbar di Iraq manakala hasil tinjauan tersebut didedahkan pada hujung bulan Oktober lepas.

Sungai Furat yang mengalir hampir 2,800 kilometer merentasi Turkiye, Syria dan Iraq tetapi sejak bulan Ogos lalu, ia menjadi semakin kering sekali gus meningkatkan risiko turbin di empangan negara yang dianda perang saudara pada tahun 2011 sehingga sekarang terhenti.

Sepanjang sungai itu mengalir di Syria, ia mengairi kawasan-kawasan tanah pertanian dan melalui tiga empangan hidroelektrik yang membekalkan kuasa dan air minuman kepada berjuta-juta orang di Syria.

Sehubungan itu, NRC menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan akses Iraq kepada pembiayaan ketahanan iklim dan meningkatkan usaha-usaha diplomatik untuk memastikan aliran air rentas sempadan wilayah yang adil ke sungai Furat dan Tigris.

Pada musim panas di Baghdad ini, paras Sungai Tigris menurun begitu rendah sehingga orang ramai boleh bermain bola tampar di tengah sungai dengan paras airnya hampir ke separas pinggang.

Bagaimanapun, Kementerian Sumber Air Iraq menyalahkan kelodak kerana aliran sungai yang semakin berkurangan dengan pasir dan tanah yang pernah dicuci di hilir kini mendap dan membentuk tebing pasir.

Walau apa pun, sungai Tigris dan Furat kini tidak sedalam seperti ribuan tahun lalu sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti manusia manakala perubahan iklim memburuk lagi keadaan sehingga memberi kesan kepada para petani. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca