SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar memaklumkan bahawa Pas berpegang pada budaya di mana anggota muda tidak terlalu meminta-minta jawatan pimpinan.
Menurut beliau, penerapan budaya seperti itu menyebabkan Pas masih relevan dalam kalangan masyarakat sehingga sekarang.
"Ini mungkin budaya yang bagi kami baik tetapi kami tidak tahu apa tafsiran orang luar. Pas ini bukan sekumpulan anak muda yang perlu beria-ria menjadi calon.
"Cuma apabila itu adalah budaya, ia menyebabkan kita melahirkan anak muda yang tidak beria-ria menjadi pemimpin sebab tahu tugasan dan pertimbangan dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk Persaingan Sengit, Pengundi Atas Pagar Macam Mana yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.
Hadir sama dalam program diacarakan oleh Hazwan Mokhtar dan Fahiz Ariff ialah Pengarah Strategik KRA Group, Amir Fareed Rahim.
Beliau berkata, apabila calon tersebut dipilih sebagai pemimpin, maka mereka akan memandang serius terhadap tanggungjawab yang diberikan dan melaksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh.
"Kita tengok Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Dia adalah Setiausaha Politik ketika Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar, jadi dia telah dilatih.
"Jadi itulah tingkatan (fasa) di dalam Pas, tidak cerita kalau jadi pemimpin, ada orang belakang yang akan kawal. Ia tidak akan berlaku, kerana itulah Pas,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca